Thursday 20 October 2011

Suratan Akhir


CERPEN

SURATAN AKHIR
Oleh Raihan Kasim

PILU! Perasaan sedih menjelira ke seluruh alir sirat uratnya. Sedih hatinya memikirkan apa yang bakal ditanggung kedua orang tuanya di padang perhitungan kelak. Suraya seorang anak gadis yang amat mentaati agama, dia menunaikan segala perintah Sang Khaliq. Namun, kedua orang tuanya tidak begitu. Bapanya seorang tokoh korporat terkenal di ibu negara manakala ibunya seorang usahawan wanita yang berjaya.
Hidup mereka dihabiskan dengan bekerja tanpa menghiraukan hal ukhrawi. Duniawi menjadi misi. Suraya sering kesepian dek ibubapanya yang sering sibuk. Kadang-kadang dalam seminggu Suraya langsung tidak bertemu dengan ibubapanya walaupun mereka tinggal sebumbung. Kebiasaannya, sewaktu Suraya bangun awal pagi untuk ke sekolah ibubapanya masih lena dibuai mimpi dan apabila dia sudah mahu merehatkan diri pada malam hari ibubapanya masih belum pulang.
“Sue..mari makan nak. Mak Jah dah siap masak.Mari.” Suara lembut Mak Jah menyapa lembut pendengarannya.
“Okey, Mak Jah” Sahut Suraya. Dia tersenyum sendiri.
‘Mak Jah’ itulah gelaran bagi pembantu rumahnya. Dia dibesarkan oleh pembantu rumahnya itu. Sejak kecil Mak Jah lah yang menjadi tempat dia bermanja dan menumpang kasih seorang ibu. Bukannya dia tiada ibu, ada. Mama! Mama seorang yang penyayang. Namun, disebabkan terus mengejar harta duniawi demi kesenangan sementara itu dia semakin mengabaikan tanggungjawabnya kepada Suraya.
Suraya dilimpahkan dengan kasih sayang berbentuk material. Dia tidak pernah meminta sebaliknya mamanya yang sering menghadiahi sesuatu buat dirinya. Dia amat menghargai kurniaan itu namun kasih sayang dan belaian ibulah yang menjadi dambaannya.
***
Pagi itu redup. Daun-daun beralun dibuai angin. Kenderaan penuh di sepanjang sisi jalan raya. Para pelajar keluar masuk dari kawasan sekolah. Ada yang menuju ke kelas, kantin, perpustakaan, dan ada juga terus menuju ke tapak perhimpunan.
Kriiiiiinngg! Loceng sekolah berdering nyaring tanda tibanya waktu perhimpunan. Para pelajar bergerak pantas menuju ke tapak perhimpunan. Isnin itu penuh dengan cabaran. Hari semua orang memulakan tugasan mingguan.
“Setiap ibubapa bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Mereka memegang amanah untuk mendidik anak-anak mengenal Allah dan menunaikan hak-hak mereka. Jika ibubapa tidak melaksanakannya tidak mustahil anak-anak akan menderhaka dan ingkar dengan perintah ibubapa tersebut. Itu balasan bagi ibubapa yang mengabaikan taggungjawab mereka.” Tazkirah daripada pengetua menarik perhatian para pelajar. Masing-masing begitu terkesan dengan tazkirah yang diberikan. Suraya tidak terkecuali.
“Namun, kita sebagai anak-anak mereka yang soleh dan solehah hendaklah bersabar dan tetap dalam kesabaran walau apa pun yang menimpa. Kesabaran dan doa adalah kunci kebahagiaan. Doa senjata orang mukmin.” Pengetua menyambung mutiara katanya. Setiap kali perhimpunan pada hari Isnin pengetua akan memberikan tazkirah. Itu sudah menjadi kebiasaan di sekolah itu.
Setelah tamat waktu perhimpunan para pelajar berbaris mengikut barisan tingkatan masing-masing untuk masuk ke kelas mereka. Pembelajaran dimulakan dengan penuh semangat. 
***
Kedengaran salam diberi oleh Cikgu Maria. Ruang kelas 5 Al-Khawarizmi itu bergema dengan suara para pelajarnya menjawab salam.
“Hari ini kita akan belajar tajuk baru. Imbangan Duga.” Ujar cikgu yang mengajar mata pelajaran Prinsip Akaun itu.
“Yang pertama, imbangan duga secara ringkasnya adalah satu senarai baki-baki akaun yang diambil dari lejar am, lejar subsidiari dan buku tunai pada suatu tempoh tertentu.” Cikgu Maria menerangkan definisinya sebagai mukadimah.
Suraya mengangkat tangan seraya bertanya. “Apa fungsi imbangan duga cikgu?”
Cikgu Maria tersenyum, “Kamu memang sentiasa bersemangat Suraya. Baiklah, fungsi imbangan duga adalah menyemak ketepatan kemasukan catatan beregu, menguji ketepatan pengiraan, serta memudahkan penyediaan akaun perdagangan, akaun untung rugi, dan kunci kira-kira. Jumlah disebelah debit mesti sama dengan jumlah disebelah kredit.”
Para pelajar mengangguk tanda mengerti.
“Tetapi walaupun jumlah kedua-dua belah seimbang, itu tidak menjamin catatan dalam lejar kamu betul kerana kemungkinan berlaku kesilapan di bahagian imbangan duga tersebut.” Jelas Cikgu Maria lagi.
Cikgu Maria menerangkan dengan lebih terperinci tentang tajuk tersebut di papan putih. Para pelajar aliran sastera itu tekun mendengar. Mereka bakal menduduki peperiksaan pada hujung tahun ini. Suraya kelihatan tekun mentelaah pelajaran. Walaupun, dia mempunyai masalah keluarga tetapi dia tidak menjadikan itu sebagai alasan buat dirinya untuk tidak tekun belajar. Hanya kejayaan dalam pelajaran menjadi hadiah buat mama dan papanya.
Tiba-tiba air jernih kelihatan mengalir keluar daripada matanya yang sepet itu. Hatinya sebak. Suraya berketurunan Cina, nenek sebelah mamanya adalah cina. ‘Aku mesti kuat!’ Rintih Suraya di dalam hati. Dia segera mengesat air panas di pipinya sebelum ada yang memerhati.
***
 “Imbangan duga tadi boleh di ibaratkan sebagai satu akaun pelarasan dalam hidup kita. Walaupun mungkin urusan hidup kita di dunia ini sudah kita anggap tawazun ataupun seimbang dengan akhirat tetapi itu tidak menjamin kita untuk masuk syurga. Seperti imbangan duga tadi, jawapan sudah seimbang tetapi kemungkinan juga berlaku kesilapan di dalamnya. Dalam hidup kita walau tawazun tahap mana pun kita ini, itu tidak akan sesekali menjamin bahawa kita tidak melakukan kesilapan. Barangkali kesilapan kita ada yang kecil dan besar tanpa kita sedari.” Ujar Cikgu Maria penuh berhikmah.
Bait-bait kalam Cikgu Maria menjengah semula dibenaknya. Itulah Cikgu Maria, seorang guru yang amat mengagumkan. Guru yang berkelulusan perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini memang hebat dengan tazkirah dan analogi yang mantap serta membina.
Suraya tersenyum  sendirian. Dia cuba mencedok sebanyak mungkin ilmu yang dicurahkan. Semuanya yang terjadi pasti ada hikmahnya. Dia menduga sendiri. Tiba-tiba dadanya terasa sesak. Sukar untuknya bernafas. Namun, dia tetap cuba untuk bertahan. Ditelannya dua biji ubat tahan sakit lantas merebahkan badannya di atas tilam. Suraya menghidap barah otak. Tetapi masih di tahap yang terkawal. Namun begitu siapa tahu aturan hidup oleh Allah, apa-apa pun bisa terjadi. Suraya sentiasa bersedia untuk itu. Hanya Mak Jah dan Pak Ali pemandunya sahaja yang mengetahui perihal penyakitnya kerana saban hari mereka yang menjaga dan menghantar Suraya berulang-alik dari hospital. Suraya meminta supaya hal itu dirahsiakan daripada kedua orang tuanya.
Mama! Papa! Sue harap Sue masih boleh bertahan sehingga Sue dapat berikan hadiah yang paling berharga buat mama dan papa. Suraya merintih sendirian. Pilu hatinya mengenangkan kedua orang tuanya yang sibuk mengejar harta dunia.
Tengah hari tadi, mama dan papanya ada di rumah. Suraya mengajak mereka untuk solat zohor berjemaah tetapi permintaan Suraya itu ditolak oleh papanya. Papa meminta Suraya untuk solat sendirian. Sejurus Suraya selesai menunaikan solat zohor mama dan papanya sudah keluar untuk ke tempat kerja. Mama dan papa amat menyayangi dirinya tetapi apabila menyentuh soal agama seperti itu mereka tidak suka.
“Apabila Allah berkehendakkan harta itu menjadi tidak berguna, maka tidak berguna lah ia.”
Isi tazkirah daripada Ustaz Asri yang sering di dengarinya di corong radio terngiang-ngiang di telinga. Betapa sedihnya hati seorang anak melihat ibubapanya begitu. Namun, apa yang mampu dia lakukan adalah terus berdoa. Doa senjata orang mukmin!
“Alhamdulillah...” Suraya melafazkan hamdalah sebaik merasakan dirinya sudah berada dalam keadaan yang baik.
Sejurus kemudian, dia mendengar bunyi enjin kereta mewah milik mamanya.
Mama dah balik! Suraya tersenyum gembira lantas beredar menuruni anak tangga menuju ke pintu utama rumahnya.
“Awal mama balik hari ni? Habis dah kerja?” Sapa Suraya manja.
“Ya, habis cepat. Cepatlah mama balik. Anak mama dah makan malam?” Sambut mama mesra.
“Belum. Mama?”
“Mama pun belum. Jom makan.”
Terima Kasih Ya Allah! Suraya mengucap syukur. Gembira.
***
Kini sudah 3 bulan berlalu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan. Keputusan akan diumumkan pada hari ini. Suraya lengkap berbaju kurung untuk ke sekolah pada pagi itu. Seperti biasa dia dihantar oleh Pak Ali, pemandunya.
Suasana di sekolah hingar-bingar dengan perbualan para pelajar yang mengambil keputusan. Ada yang gembira memegang slip peperiksaan mereka. Tidak kurang juga yang bermasam muka. Suraya begitu gementar untuk mengambil keputusan.
“Tahniah Suraya!” Adila menegur.
“Tahniah? Untuk apa?” Suraya bertanya. Hairan.
“Untuk keputusan SPM kau la.”
“Aku belum ambil lagi keputusan aku. Macam mana kau pula yang boleh tahu dulu?”
“Kau tak payah ambil pun tak apa. Semua keputusan pelajar cemerlang sekolah tahun ini sudah di tampal di papan kenyataan tu.” Adila menudingkan jarinya ke arah papan kenyataan berhampiran.
Suraya segera mendapatkan gurunya untuk mengambil slip peperiksaannya. Alhamdulillah! Suraya merembeskan air matanya ke pipi. Usahanya berbaloi. Dia lulus dengan cemerlang. Mama! Papa! Sue sudah dapat hadiah untuk dihadiahkan buat mama dan papa.
“Pak Ali, Sue lulus dengan cemerlang.” Ujar Suraya kepada pemandunya.
“Tahniah nak.” Ucap Pak Ali seraya tersenyum.
Hari itu dirasakan hari paling bahagia buat dirinya. Hatinya begitu tenang. Dia rasakan cukup bahagia kerana telah menghadiahkan hadiah yang teristimewa buat ibubapanya.
“Pak Ali boleh tolong Sue tak?” Soalnya sambil memasukkan slip peperiksaan ke dalam sebuah sampul surat.
“Apa dia nak?”
“Sue nak minta tolong Pak Ali berikan sampul surat ni pada mama dan papa ya.”
“Kenapa Sue tak berikan sendiri sahaja?”
“Pak Ali, kita hidup di dunia ni tak tahu bila masanya akan terhenti. Jadi kita kenalah sediakan payung sebelum hujan. Kalau Sue tak sempat berikan pada mama dan papa. Pak Ali tolong berikan ya.” Suraya berseloroh.
Pak Ali diam membisu.
Suasana di dalam kereta sunyi sepi. Tanpa suara Suraya yang dari tadi riuh berborak dan mengusik Pak Ali.
‘Penat sangat budak ni agaknya, sampai tertidur.’ Pak Ali bermonolog.
Setibanya mereka di rumah kelihatan kereta mama dan papa sudah tersadai di garaj  mewah mereka itu.
Mama dan papa menyambut kepulangan Suraya. Mereka berhajat untuk memberi kejutan kepada Suraya. Mama membuka pintu kereta di bahagian belakang, tempat Suraya duduk sepanjang perjalanan.
“ Abang...!!!” Mama menjerit memanggil papa. Papa segera mendekati mama.
“Ya Allah!” Papa terkejut.
Suraya sudah terkulai di bahagian tempat duduk belakang tanpa disedari oleh Pak Ali kerana dia menyangka Suraya penat setelah seharian di sekolah. Suraya dikejarkan ke hospital namun usaha itu sudah terlambat.
“Puan, ini sampul surat yang Suraya minta saya berikan pada puan dan tuan.” Ujar Pak Ali.
Mama membuka sampul surat itu dengan titisan air mata syahdu.
Mama! Papa! Terimalah hadiah yang teristimewa buat kalian.Suraya Berjaya!Suraya rindukan mama dan papa. Suraya rindu untuk solat berjemaah dengan mama dan papa.
Air matanya tidak dapat dibendung lagi setelah membaca sepotong ayat pada sampul surat dan melihat isi di dalamnya. Slip peperiksaan!
Maafkan kami Suraya kerana mengabaikan kamu,nak!
TAMAT



No comments:

Post a Comment