Sunday 2 September 2012

Detik Gemilang



‘Exam final bila?’
‘Hujung bulan ni. Kenapa?’
‘Ana nak ajak join program, jadi fasilitator. Tapi macam tak sempat je. Kau orang dah exam.’
‘Program apa? Bila tarikhnya?’
Perbualan melalui mesej itu terus berlaku. Bertanya itu dan ini untuk pencerahan.
‘Okay. Saya join. 4 orang ya.’
Akhirnya kata putus telah disepakati. Saya dan 3 orang sahabat bakal menyertainya.

Cabaran
Program tersebut berlangsung 3 hari sebelum bermulanya final exam di pusat pengajian saya. Keputusan untuk menyertainya dibuat secara mendadak memandangkan saya di invite untuk menyertainya lebih kurang seminggu sebelum program itu berlangsung.

Pada permulaannya, saya dan sahabat ragu-ragu untuk menyertainya kerana peperiksaan hanya tinggal beberapa hari lagi selepas program itu. Tetapi setelah mengambil kira pelbagai sudut, kami membuat keputusan untuk menyertainya. Tambahan pula, sahabat yang mengajak itu bukan orang lain, teman yang rapat dengan kami. Jadi apa salahnya kami menggembirakan hati mereka. Semoga selepas ini Allah gembirakan hati kami pula dengan nikmatNya. Kami sepakat, selepas habis program juga masih sempat untuk ulang kaji. Satu masalah selesai!

Di pusat pengajian, kami hanya dibenarkan keluar untuk pulang pada pagi Jumaat. Memandangkan pada pagi Jumaat tersebut  kami sudah perlu berangkat ke tempat program maka kami memerlukan surat berkaitan program untuk mendapatkan kebenaran keluar awal daripada Principal asrama.

‘Kami tak boleh keluar hari khamis kalau tiada surat. Jadi, ada surat daripada pihak program tak?’
‘Nanti ana cuba minta.’
Beberapa hari selepas itu…
‘Maaflah. Tiada surat lagi daripada pihak program.’

Allahu Akbar! Macam mana hendak keluar kalau tiada surat. Termangu sebentar memikirkannya. Hendak keluar begitu sahaja takut-takut jika terkantoi susah pula. Biarlah keluar secara berhemah dan senang hati.

Setelah memikirkannya, akhirnya saya mendapat idea untuk membuat sendiri surat kebenaran itu hanya menggunakan senarai nama yang telah dipaparkan di laman sesawang program tersebut. Dan… saya berjaya mendapatkan kebenaran untuk keluar. Tidak sia-sia penat lelah seorang diri turun naik bangunan untuk mendapatkannya.
Alhamdulillah! Kami boleh keluar dengan senang hati…

Program
Setelah 3 hari 2 malam program itu berlangsung pelbagai ilmu baru yang ditimba dan kenalan baru yang kami jumpa. Walaupun rata-ratanya tidak kenal sebelum ini tetapi program itu telah merapatkan ukhuwah antara kami. Baru beberapa jam bersua muka kami sudah boleh bergelak tawa sehinggakan pernah pengurus program tersebut berkata bahawa beliau fikirkan bahawa kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Mungkin ya bagi sesetengahnya dan sebaliknya bagi sebahagian daripada kami. Saya rasa senang sekali bersama mereka. Sejujurnya, suasana seperti ini jarang berlaku. Kebiasaannya, paling cepat pun sehari perkenalan. Mungkin kerana objektif dan matlamat kami yang satu iaitu untuk menyumbang kepada anak bangsa yang membuatkan kami dekat. Paling penting semua harus berlapang dada dengan perkenalan baru itu.

Berprogram bersama dengan anak kecil yang berumur sekitar 11 tahun cukup menduga kesabaran dan ketahanan mental serta fizikal kami. Bermacam ragam boleh dilihat. Ada yang diam seribu bahasa tidak kurang juga yang bercakap tidak henti. Setiap daripada mereka punya cerita hidup yang tersendiri. Mengapa yang itu begitu dan yang ini begini. Sedikit sebanyak saya dapat mengorek rahsia mereka secara tidak langsung.

Sedikit sebanyak ia mengasah skill komunikasi kami terutamanya dengan anak-anak kecil. Bahkan, rasa kasih dan sayang antara kami dipupuk tanpa sedar. Mereka mungkin kelihatan nakal dan langsung tidak mendengar kata. Sehinggakan saya pernah mengekori mereka sehingga ke belakang kawasan sekolah. Katanya mahu ke tandas tetapi saya tahu itu tipu. Entah apa yang mereka buat. Namun, senakal-nakal mereka apabila saya katakan saya akan pulang jika mereka masih nakal, mereka diam seribu bahasa.

‘Kalau macam ini, apa kata akak balik lah sekejap lagi.’
Saya tersenyum kelat. Bukan merajuk tapi cuba berdiplomasi bersama mereka.
‘Janganlah kak. Kau orang ni sudahlah buat macam itu. Aku nakal juga tapi kalau akak dah cakap banyak kali tu aku tak buat dah.’ Kata seorang adik kumpulanku. Dia cuba menegur rakannya.

Yang lain hanya membisu, menundukkan muka masing-masing.
SubhanAllah… Bagusnya budak ini. Sememangnya pada awalnya adik itu agak nakal. Tetapi setelah beberapa ketika bersama dia menjadi adik yang baik. Hanya mengikut arahan. Semoga kawan-kawannya akan mengikut jejak langkahnya.

Matlamat program bukanlah hanya hendak memastikan pelajar-pelajar itu cemerlang di dalam peperiksaan tetapi cemerlang gemilang dan terbilang sahsiah dan jati diri mereka. Itu lebih penting. Alhamdulillah, dengan izin Allah kami berjaya membuatkan pelajar-pelajar yang tidak berani bercakap di hadapan akhirnya keluar ke hadapan dengan rela hati tanpa perlu dipaksa seperti sebelumnya. Bakat mereka juga dapat digilap. Ada yang berbakat dalam bidang nasyid, lukisan, berlakon dan lain-lain.

Itu yang ingin kami ketengahkan. Jika sebelum ini tiada siapa yang mempedulikan semua bakat mereka itu. Nah! Inilah masanya. Supaya mereka lebih yakin dengan bakat yang mereka ada. Lebih membanggakan apabila seorang pelajar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat pendiam dan jarang bercakap akhirnya mampu bercakap di hadapan ramai. SubhanAllah! Jelas terpancar kegembiraan di wajah cikgu-cikgu sekolah itu apabila pelajar itu bercakap. Saya perhatikan satu persatu wajah-wajah bahagia itu.

Rohani pelajar-pelajar juga sentiasa di isi dengan peringatan demi peringatan daripada kami. Ternyata nakal bukan sebarang nakal, pelajar yang saya ekorinya ke tandas itu menjadi pembaca doa makan dan iqamat. Sedap suaranya. Jika di dalam kumpulan dia sangat nakal dan bising tetapi di hadapan umum dia sangat pendiam. Ada sebab mengapa dia jadi begitu.

Ukhuwah
Selepas program selesai saya jangkakan bahawa hanya di sekolah itu sahaja program itu akan diadakan dan program susulan beberapa bulan kemudian. Ternyata andaian saya salah. Lebih kurang sebulan kemudian kami diajak untuk berprogram di sekolah lain pula. Tetapi dengan sebab yang tidak dapat dielakkan saya tidak dapat untuk menyertainya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Ternyata itu benar! Itulah yang terbaik buat saya.

Bahkan, saya fikirkan bahawa mungkin hubungan kami hanya ketika program sahaja. Namun, saya silap. Perhubungan antara kami semua semakin hari semakin dekat. Ada sahaja perkara yang kami lakukan bersama. Walaupun jauh di mata tetapi dengan arus kemodenan teknologi abad ini kami sentiasa berhubung di laman sesawang.

Kini, sudah genap 4 bulan usia perkenalan kami semua sebagai ahli program tersebut. Sejujurnya 4 bulan itu mungkin jangka masa yang pendek tetapi ukhuwah antara kami boleh dikatakan sudah seperti bertahun lamanya. Bermacam ragam boleh dilihat. Buka hati, lapangkan jiwa, jauhi sengketa dan terima semua seadanya. InsyaAllah perhubungan ini akan kekal selamanya. Ukhuwah fillah ini bukan hanya sia-sia Allah tentukan buat kita. Carilah hikmahnya, terlalu banyak.

Gurau senda, gelak tawa, sindir menyindir. Itu seperti sudah menjadi resepi keluarga kita. Jadi saya mohon untuk semua berlapang dada. Itu semua hanyalah perasa tambahan dalam hubungan ini. Cukup gula, garam, dan asamnya maka menjadi lah masakan perhubungan ini.

Saya akui, gelak tawa sering menjadi hiasan  dalam perhubungan ini tetapi terlalu banyak ilmu dan perkara baru ditimba sepanjang ukhuwah ini terjalin. Belajar secara santai. Itulah sebetulnya. Dalam gelak tawa ada input-inputnya yang tersendiri. Malah, semakin hari semakin banyak bakat dan kebolehan kami yang digilap. Fokus! Dan… Kita akan nampak.

Akhir Kalam
Bukan untuk suka-suka saya coretkan ini semua. Tetapi sebagai perkongsian kepada semua. Betapa bernilainya ukhuwah dan pengalaman ini buat saya. Moga ada manfaatnya. Mungkin objektif dan tujuan sebenar tidak sampai kepada anda apabila membacanya, maaf dipinta. Buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Hidup saya berubah hanya dengan menerima satu sms daripada sahabat! Jika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku, ia pasti berlaku. Percayalah!


Noted : Family of Kem Gemilang (2012).

P/S : Coretan sebuah perjalanan yang panjang. Di setiap suka pasti ada duka nya. Walaupun kadang-kadang hanya suka yang diterjemah dan jelas pada pandangan mata. :)

Saturday 1 September 2012

Sanah Helwah Sayang!







28 Ogos 

Selamat Hari Lahir buat adik Ezzat yang tersayang...




1 September 

Selamat Hari Lahir umiku sayang!



4 September 

Selamat Hari Lahir abahku sayang!



Selamat Hari Lahir semua... 

Buat adik, belajar baik-baik.

Buat umi dan abah, maaf masih tak dapat jadi anak yang baik.

Doakan Along!