Friday 5 August 2011

Waktu panjang vs Umur pendek

Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas =)


Disebalik Jalan Ini


‘APA pentingnya dakwah? Apa penting hidup seorang insan yang bergelar hamba Allah untuk berdakwah? Apa itu dakwah?’ Persoalan itu sering terpacul dibenakku. Aku seringkali terkeliru dengan segala macam maklumat yang terpaksa ditelan akalku yang terbatas kemampuannya. Masih belum ada yang mampu untuk memuaskan aku dengan segala jawapan dari mereka.
Aku masih tercari-cari jawapan yang aku kira akan memberi kepuasan pada diriku. Cerewet sungguh! Dengus hatiku sendiri... Aku membelek-belek beberapa buah buku karya ulama’ terkenal tidak kurang juga pakar-pakar bijak pandai dalam dunia motivasi islam. Aku mencari isi-isi yang aku inginkan.Biarlah ringkas namun ‘ibrahnya sangat padat. Sementelah membelek buku-buku itu aku amat tertarik dengan satu hadis riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim. Hadisnya berbunyi:
“Umpama orang-orang yang tinggal dalam sempadan-sempadan Allah swt itu adalah seperti suatu kumpulan manusia yang menaiki kapal, Setengah duduk di tingkat atas manakala setengah pula di tingkat bawah. Orang-orang yang duduk di tingkat bawah itu apabila hendak mengambil air (dari laut) terpaksalah mereka melalui tempat yang diduduki oleh orang-orang di atas, lalu mereka berkata: “kalau kita tebuk lubang di sebelah bawah kita ini untuk mendapatkan air tentu kita tidak akan menggangu orang-orang yang di sebelah atas,maka kalaulah mereka dibiarkan melakukan apa yang mereka niatkan itu, nescaya semua orang di atas kapal itu akan binasa. Kalau mereka dicegah, kesemuanya akan selamat.”

Aku tertegun dengan analogi yang dibawakan dalam hadis tersebut. Sungguh kena dengan apa yang aku cari selama ini. Hidup ini jika tiada matlamat untuk saling memperingati antara satu sama lain maka akan binasalah semuanya. Fikirku. Itu kesimpulan yang aku dapat. Dakwah itu amat penting. Tiba-tiba aku rasakan semangat itu menjelira ke segenap tubuhku yang kerdil  dimataNya ini. Inilah bidayah untuk aku memulakan segalanya dalam kehidupanku.

Sejak itu aku bertekad untuk sentiasa menyampaikan dakwah. ‘Amar makruf nahi mungkar’. Walaupun dengan hanya secebis nasihat dan ungkapan. Aku sentiasa berpegang pada satu hadis Rasulullah S.A.W junjungan agung kita, ’Sampaikanlah pesanku walau satu ayat’. Dari ayat tersebut jelas bahawa dakwah itu amat penting bagi kita yang bergelar muslim.Walau dengan apa cara sekalipun kita wajib berdakwah.
****
“Assalamualaikum ustaz.” Sapaku ketika berselisih dengan Ustaz Shukri. Beliau kelihatan tergesa-gesa.
“Waalaikummussalam Umair.” Segaris senyuman terbit diwajahnya. Aku tersenyum balas.
“Tergesa-gesa nampaknya Ustaz. Ada hal mustahak ke?”Soalku.
“Ustaz ada sedikit urusan di pejabat. Kamu ada perkara yang hendak diberitahu ke?” Ustaz menyoal kembali.
“Tak ada apa ustaz. Sekadar seorang anak murid hendak menyapa murabbinya. Bolehkan ustaz?” Ujarku spontan untuk bergurau.
“Semestinya… Oh!yaa… Ustaz ada hal yang hendak dibicarakan dengan kamu. Petang ni kamu datang office ustaz ya. Boleh?” Pinta ustaz tersenyum manis. Aku sekadar menurut.
“InsyaAllah ustaz. Untuk ustaz, apa-apa pun boleh…” Gurauanku memecahkan heningnya suasana saat itu.
Ustaz berlalu pergi namun aku masih tercegat di tepi kaki lima dewan kuliah itu. Benakku sendat memikirkan apakah agenda ustaz. Ahhhh!Abaikan saja. Bentak hatiku.Memang sudah menjadi tabiatku, aku amat tidak sukakan persoalan tanpa jawapan timbul dibenakku.

Aku meneruskan kuliah yang seterusnya. Ustaz Azmy menyampaikan ilmu kepada kami dengan begitu bersemangat. Aku mendengar setiap patah kata yang ustaz ucapkan. Rugi bagiku jika aku hanya hadir ke kuliah dengan berteman jasad sahaja tapi tidak rohku. Jasad ada disini tapi hati di tempat lain. Sungguh jauh dari prinsipku. Tambahan pula, hanya waktu ini sahaja aku dapat menumpukan sepenuh perhatianku pada pelajaran. Aku terlibat dengan pelbagai aktiviti persatuan untuk berdakwah. Amat menguji ketahanan mental dan fizikal aku sebagai seorang pelajar sekaligus seorang pendakwah.

           
Ya, pendakwah muda remaja. Aku tahu ramai dalam kalangan sahabat-sahabat tidak senang dengan apa yang aku lakukan sekarang. Mereka mempertikaikan apa yang aku lakukan. Bagi mereka apa yang aku lakukan hanyalah sia-sia. Katanya, belajar dahulu tak payah nak sibuk-sibuk fikir hal lain. Namun, berkat kesabaran dan semangat yang diberikan teman seperjuangan aku terus membina benteng yang kukuh agar tidak bisa diceroboh pihak musuh.
                                                                         *****
Sudah hampir setengah jam aku berteleku di sofa empuk pejabat itu menunggu Ustaz Shukri. Namun kelibat ustaz yang tinggi lampai berjanggut sedikit itu tidak juga kelihatan. Aku sabar menunggu. Tidak lama kemudian aku disapa seseorang.
“Assalamualaikum Umair. Maaf… Ustaz baru je habis meeting. Tak sempat nak beritahu kamu tadi.” Kata ustaz sambil meletakkan fail-fail kertas kerjanya diatas meja buatan Itali itu. Aku tersenyum nipis.
“Ada apa ya ustaz?” Soalan yang aku tunggu-tunggu untuk diajukan. Ustaz memandangku tepat.Pola anak matanya menggambarkan ada sesuatu yang menyenangkan hatinya untuk disampaikan.
“Begini…bulan hadapan akan diadakan satu pertandingan lakonan. Temanya ‘Dakwah Buat Ummah’. Jadi ustaz amat mengharapkan penglibatan dari kamu dan sahabat-sahabat seperjuangan kamu.” Pinta ustaz penuh harapan.
“Begitu ya ustaz. Pucuk dicita ulam mendatang ni ustaz. Kami memang menunggu tawaran-tawaran sebegini. Sejak kami bertanding pada tahun lepas,kami begitu gembira. Seronok berdakwah menggunakan uslub lakonan ini ustaz. Santai sahaja.” Aku menjawab sambil tersenyum riang. Ustaz gembira mendengar responku. Segaris senyuman terukir di figura ustaz yang berusia lewat 30-an itu.
“Alhamdulillah,syukur. Ustaz senang dengan respon yang kamu berikan.” Kata ustaz sambil menghulurkan sepucuk sampul surat kepadaku.
“Apa isi dalamnya ustaz?Gaji saya ke?” Ujarku berseloroh. Ustaz tersenyum.
“Ya, gaji buat kamu dan sahabat-sahabat kamu. Ada-ada sahaja kamu ni Umair. Dalam sampul surat tu ada borang untuk pertandingan tu. Kamu dan rakan-rakan yang lain bolehlah mengisi segala maklumat yang diperlukan. Pertandingan tu insyaAllah akan diadakan pada bulan Julai hadapan” Terang ustaz bersahaja.
“Ok, baik ustaz. Saya minta diri dulu ya..” Ujarku seusai bersalam dengan ustaz. Aku membuka langkahku keluar dari bilik berhawa dingin itu dengan hati yang berbunga-bunga. Sudah lama kami tunggu tawaran sebegini datang. Alhamdulillah,akhirnya dengan izin Allah kami diberi peluang sekali lagi untuk berdakwah melalui lakonan. Amat bermakna bagi kami dan memberi kepuasan yang tidak boleh diterjemah melalui kata-kata. Hanya yang merasainya sahaja yang tahu betapa indahnya saat itu. Saat berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikan apa yang tersurat dan tersirat disebalik lakonan kami. Kami puas.
*****
“Hang duk termenung ni pasai apa? Awek lari ke bang?” Kataku berseloroh apabila melihat sahabat baikku, Hanif duduk terpisat-pisat di tepi katilnya.
“Tak ada apa la. Tenangkan fikiran aje…” Jawabnya bersahaja. Sedikit pun dia tidak berpaling padaku.
“Aku kawan dengan hang bukan sehari dua tau dak? Dah 10 tahun aku kawan dengan hang. Dari sekecil-kecil perkara tentang hang, sampai yang sebesar-besar perkara aku tau. Hang masih nak berahsia dengan aku.” Bentakku geram. Pantas sahaja dia berpaling padaku.
“Alahai...mamat ni. Tau touching juga kau ya.” Hanif gelak sendirian. Aku hanya membiarkannya.
“Habis tu, kau ingat aku ni apa. Bukan manusia ke? Dah la. Aku tak nak gaduh dengan kau. Aku cuma nak tau apa masalah kau ni? Tu aje…”
“Aku tak ada masalah apa pun. Cuma aku duk merenung kisah-kisah silam kita dulu. Zaman sekolah,zaman main kejar-kejar…yang paling aku tak boleh lupa masa mula-mula kita jejak kaki ke sini. Hang tu yang serkap jarang aje.” Ujarnya bersungguh.
“Laaa…yeke? Muka hang tu serius sangat. Mana la aku tau.” Aku tersenyum memandangnya. Namun, senyuman itu palsu sama sekali. Aku sangat mengerti jiwa sahabatku itu. Dia cuba menyembunyikan sesuatu dariku.
“Ni yang hang duk tersengih-sengih ni pasai apa? Buang tebiat ke?”
“Mana ada. Aku ada kejutan untuk kita semua. Baik punya.” Kataku sambil tersenyum mengejek. Aku cuba untuk menarik perhatiannya. Jelas kelihatan garis kedutan timbul di dahinya.
“Apa kejutannya?” Soalnya.
“Adalah. Aku nak kau call kawan-kawan ICI kita dulu. Lepas tu baru boleh aku beritahu korang semua. Surprise…!!!” Gelakku memecahkan heningnya suasana. Sengaja inginku duga kesabaran sahabatku itu. ICI adalah nama kumpulan lakonan aku. Intellectual,Creative and Inovatif. Hasil ilham sahabat kami, Humaira’.
“Tapi apa kena mengena ICI dengan kejutan kau ni?” Soal Hanif kehairanan.
“Nantikan… Kau buat je apa aku suruh. Ok?”
Dia mengangguk terpaksa.
“Macam ni la kawan aku.”
Mukanya mencuka.
“Laaa…hang ni. Senyumla sikit.” Tambahku lagi. Dia pantas tersenyum. Kelat.
*****
“Kenapa tiba-tiba panggil kami ramai-ramai ni? Rindu kami ya?” Kata Qayyum berseloroh. Aku tersenyum.
“Aku ada kejutan untuk korang.” Ujarku bersungguh.
“Apa dia? Kami banyak kerja lagi ni Umair. Baik kau beritahu sebelum kami cabut balik..” Ujar Arissa dalam nada ugutan.
“Ok,aku beritahu sekarang. Bukan main sibuk lagi semua. Macam korang aje yang ada kerja.” Ujarku menyindir. Mereka terdiam.
“Kalau aku tawarkan korang untuk berlakon lagi, korang nak tak? Minggu lepas aku jumpa dengan Ustaz Shukri, beliau yang tawarkan kita untuk berlakon lagi. Aku rasa ini peluang yang terbaik untuk kita.” Saranku.
“Bagus juga tu. Aku setuju sangat.” Hanif memberi respon. Tersenyum.
“Aku ok je. Tak kesah pun. Kau macam mana Isyraf? Diam aje.” Tanya Qayyum.
“Aku tak ada masalah. Aku boleh aje.” Ujarnya sambil mengukir senyuman.
“Kami dipihak muslimat pun tak ada masalah la Umair. Macam kita semua baru kenal hari ni je. Bukan ke kita tau matlamat kita sama. Bersama-sama untuk berdakwah. Melenyapkan kemungkaran di muka bumi ni.” Jelas Nurul bersungguh.
“Aku tak dapat nafikan tu. Jadi,bila kita boleh  start untuk berlatih? Untuk perjumpaan kali ni, aku nak kita semua bincang plot perjalanan lakonan nanti. Ok?” Kataku bersemangat.
Kami berbincang selama dua jam dan akhirnya apa yang dinantikan bakal menjadi. Kami menyusun setiap plot dengan baik sekali. Kami memilih untuk melakonkan perihal seorang wanita islam yang ingin menegakkan haknya sebagai muslim di negara orang. Beliau berjuang hingga ke penghujung hayatnya. Kisah wanita ini menaikkan lagi semangat aku untuk berjuang pada jalan ini. ’Dia seorang wanita mampu untuk berjuang menegakkan keadilan, sedangkan aku seorang lelaki. Masakan aku tidak mampu untuk berjuang sepertinya’.
*****
Kami memulakan latihan seawal mungkin untuk mengelakkan aktiviti kami bertembung. Bermacam ragam yang aku saksikan sepanjang kami menjalani latihan. Ada yang asyik berjenaka dan ada yang amat serius semasa latihan. Namun, aku seringkali menasihatkan mereka agar sentiasa berfikiran terbuka apabila kami bersama. Itu yang penting dalam menjalankan gerak kerja dakwah melalui cara ini. Santai. Kerana bagi aku jika kami terlampau serius, kami tak akan mampu untuk menyempurnakan lakonan kami yang amat memerlukan tahap kekreatifan yang tinggi. Kami perlu  berfikiran lebih terbuka, namun tetap pada had kesederhanaannya.
Ramai yang tidak perasan, kadang-kadang melalui otak-otak insan yang selalu berjenaka juga kita boleh dapat sesuatu yang berharga. Kadang-kadang apa yang mereka lakukan hanya secara spontan untuk memeriahkan keadaan. Tapi siapa boleh duga, akhirnya idea itu yang diguna pakai. Ternyata hal ini berlaku kepada kami. Babak dimana watak utama wanita yang ditindas sedang bercakap melalui telefon bersama suaminya. Qayyum yang memegang watak sebagai suami tersebut. Namun,dek kerana asyik dengan lawak spontannya, Hanif segera mencelah.
“Bagi la bunga abang ooi… Tak kan la datang tangan kosong aje. Merajuk isteri tercinta tu” Ujar Hanif berseloroh.
Riuh suasana saat itu dengan gelak tawa kami. Memang Hanif seorang yang happy go lucky. Kami amat menyenanginya. Melalui lawak spontannya tadi, kami dapat memperbaiki lagi jalan cerita yang akan kami lakonkan. Banyak juga kesilapan yang berlaku semasa latihan. Apa yang ada dalam skrip kami tinggalkan, apa yang tiada kami tambahkan sesuka hati. Sukar untuk mengingati setiap baris dialog itu. Mencabar.
            Walaupun berlaku pelbagai kesilapan dari mereka, aku tidak pernah memaksa. Aku sentiasa cuba untuk memahami cara mereka bekerja. Itu akan memudahkan aku untuk lebih mengenali mereka dan melancarkan segala gerak kerja kami dalam lakonan ini. Kami giat berlatih selepas waktu pembelajaran pada waktu petang dan malam. Tanpa kenal erti penat dan jemu. Aku bersyukur kerana sahabat-sahabat aku itu semuanya memberikan komitmen yang terbaik.
*****
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Hari yang dinantikan sudah tiba. Detik itu amat mendebarkan bagi kami. Segala yang kami usahakan selama ini tinggal hanya untuk dipersembahkan di khalayak ramai. Aku sangat teruja untuk mempersembahkan lakonan kami buat tontonan ramai. Aku amat berharap semoga lakonan kami sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada penonton. Semoga kami dapat menyentuh hati-hati insan yang berada di Dewan Besar itu pada malam ini.
Lampu dewan dimatikan. Riuh rendah kedengaran. Terkejut dek lampu yang dipadamkan. Alunan muzik rancak diperdengarkan.
“We from ICI…Intellectual, Creative and Inovatif group present Soul of Syahidah.” Lantang Khadijah bersuara sebagai pencerita.
Lampu dinyalakan kembali.
“Starring…Sister Laila as Sofia, Brother Hanif as Jewish Guy, Brother Qayyum as Sofia’s Husband…”
Begitulah permulaan bagi persembahan kami. Kami memulakan lakonan menggunakan Bahasa Inggeris. Untuk pertandingan kali ini, para peserta wajib menggunakan 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Menarik. Aku bersyukur kerana kami dapat mempersembahkan lakonan kami dengan baik sekali. Semua sahabatku memberikan komitmen yang luar biasa sekali. Lebih bersemangat dari biasa. Aku tersenyum sendiri. Kagum. Setelah selesai persembahan kami. Kami menyaksikan pula bakat-bakat terpendam sahabat-sahabat kami dari kumpulan lain. Mereka juga amat berbakat. Kelainan dipersembahkan dalam persembahan mereka.
Ada yang mempersembahkan lakonan seperti kami, tidak kurang juga yang mendendangkan kami dengan alunan syahdu nasyid dalam lakonan mereka. Ada juga yang menyelitkan dikir barat dalam plot penceritaan. Aku cukup terhibur. Sedang asyik aku menonton persembahan dari mereka. Aku terpandang kelibat sahabat karibku, Hanif.Sosok tubuh itu sedang bercakap di telefon. Aku hanya memerhati dari jauh. Tidak lama kemudian,dia meluru berlari ke arah luar dewan. Aku terpaku. Kaget. Segera aku mengekori dari belakang.
Tanpa pengetahuannya, aku sudah berada berhampiran dengannya. Ternyata dugaanku tempoh hari benar, Hanif menyembunyikan sesuatu dari aku. Aku secara tidak sengaja telah mendengar perbualan dia dengan seseorang yang aku kira ahli keluarganya.
“Macam mana keadaan Ridzuan sekarang? Dia dah sedarkan diri ke?” Tanya Hanif kepada seseorang dicorong telefon.
“Belum. Kata doktor, kalau dia masih tidak sedarkan diri kita perlu masukkan dia ke unit kecemasan untuk pembedahan dengan segera.”
“Ya Allah… Ibu macam mana? Ok ke?” Soal Hanif. Kesedihan. Air jernih menerjah pipinya.
Aku hanya diam. Memerhati.
*****
Setelah sekian lama aku tidak lihat dia bergenang air mata begitu. Dulu air matanya tumpah saat abang kesayangannya, Hazrul menyahut seruan Ilahi. Kereta yang dipandu abangnya terbabas melanggar pembahagi jalan semasa dalam perjalanan untuk pulang bercuti di kampung. Hancur luluh hati sahabatku itu saat mengetahui berita kematian abang tercinta. Pedihnya Allah sahaja yang tahu. Namun, aku turut merasakan tempiasnya kerana aku sudah bertahun-tahun bersahabat dengan Hanif. Hanif sahabat aku, begitu juga arwah Abang Hazrul.
Namun, aku tabahkan jua hatiku untuk menerima segala ketentuan Allah. Inilah qada’ dan qadar Allah. Inilah ketentuan yang telah Allah janjikan. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Itu janjinya. Demi Hanif, aku harus bangkit. Sebagai sahabat aku harus mengembalikan Hanif yang aku kenal dulu. Hanif yang sentiasa ceria, tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa bergurau senda dalam kehidupan hariannya. Amat susah untuk aku mengembalikan semangat dalam diri Hanif. Dia amat terpukul dengan kematian mengejut abangnya. Sehinggalah suatu hari aku meluahkan rasa terkilan aku padanya.
“Hanif, aku tau kau sedih. Tapi aku juga nak kau tau yang aku lagi sedih dari kau.”
“Kenapa? Kenapa kau pulak yang nak sedih? Abang kau ke yang mati tu? Abang kau ke??!!” Hanif meninggikan suara. Aku terkejut. Sungguh! Fikiran Hanif masih terganggu.
“Istighfar Hanif! Ya, memang Abang Hazrul bukan abang aku. Abang kau. Tapi aku nak kau tau. Kau hanya kehilangan abang kau. Tapi aku? Aku kehilangan Abang Hazrul! Aku kehilangan kau! Sahabat karib aku! Aku hilang dua orang sahabat aku sekaligus. Sakit sangat Hanif. Kau pernah tau tu semua..??”Aku meluahkan kata. Sendu.
“Betapa sedihnya hati ni. Aku hilang seorang sahabat yang menghiburkan aku. Aku hilang seorang sahabat yang sentiasa menceriakan hari-hari aku. Mana pergi dia? Hilang sekelip mata. Walaupun jasad dia sentiasa ada depan mata aku. Tapi hati dia dah tak pernah ada untuk aku. Semua yang aku buat. Tak pernah diendahkan.” Tambahku lagi. Air mata Hanif berjujuran.
“Maafkan aku Umair. Aku tak berniat nak buat semua ni pada kau. Aku hilang arah. Aku tak tau apa jadi pada aku. Kehilangan Abang Hazrul benar-benar menyentak hati aku. Aku betul-betul rasa kehilangan. Dia satu-satunya abang aku. Dia banyak beri aku sokongan untuk teruskan perjuangan kita ni. Dia selalu nasihatkan supaya jangan mudah mengalah. Aku rasa hilang tempat bermanja Umair. Maafkan aku.” Ujarnya dalam sendu tangis.
            Selepas hari tersebut, Hanif kembali seceria dulu. Aktif sekali. Aku bahagia. Sangat bahagia dengan perubahannya. Dia sudah mampu untuk menghiburkan hatiku seperti dahulu. Aku bersyukur kerana aku sudah mendapat kembali sahabat karibku yang ‘hilang’ dulu. Alhamdulillah. Getus hatiku. Kini, sekali lagi aku melihat air matanya tumpah. Sayu sekali ukiran wajahnya. Aku tidak sanggup untuk menatap wajahnya.
*****
“Umair!!” Kedengaran Qayyum melaung dari jauh. Tanpa kusedari, air mataku mengalir. Metah aku mengesatnya. Segera aku berpaling ke arah suara itu.
“Ya. Ada apa?” Aku bertanya.
“Kau buat apa kat situ? Majlis penutup dah nak start. Cepatlah masuk. Kami tunggu kau.” Pantas Qayyum berlalu masuk ke dalam dewan.
Aku hanya mengangguk. Pandanganku beralih kepada Hanif. Dia duduk berteleku seorang diri di tepi longkang luar dewan itu. Sayu sekali figurnya.
‘Ya Allah…berikanlah kekuatan kepada sahabatku itu. Berikan dia semangat untuk meneruskan hidup dalam menghadapi sebarang ujian yang telah Engkau tentukan untuknya. Sungguh sudah banyak penderitaannya. Tiupkanlah ketabahan dalam jiwanya’
            Aku pantas berjalan kearahnya dan melabuhkan punggung disebelahnya. Sedikit pun dia tidak berpaling. Langsung tidak sedar akan kewujudan aku di situ. ’Sungguh berat benar ujianmu kali ini Hanif’. Aku lantas menyapa kerana majlis penutup akan bermula sebentar lagi.
“Hanif, jom masuk..” Sapaku.
“Kau masuklah dulu. Aku duduk sini sekejap.” Dia tersenyum memandangku. Namun, ada titik kesedihan dibalik sinar matanya.
“Aku tak kan masuk selagi kau tak masuk. Aku tau kau ada masalah. Tapi aku tak nak paksa kau cerita kalau kau belum sedia. Dah, jom masuk. Mereka semua tunggu kita.” Aku tersenyum padanya. Memberi aura semangat.
            Kami berlalu masuk ke dalam dewan. Kemeriahannya kian terasa. Aku duduk di satu sudut dewan. Memerhati gelagat penonton yang hadir. Debaran jelas kelihatan difigur para peserta. Aku juga tidak kurang. Berdebar menanti saat-saat untuk kami ketahui siapakah juara untuk pertandingan kali ini. Tahun lepas kami tewas di tangan Kumpulan Happy Family. Aku tidak bisa mencongak nasib ketika ini. Aku hanya mampu berserah dan bertawakal pada Allah setelah kami berusaha. Bagiku kemenangan itu tidak penting. Tapi jika rezeki kami, itu bonus.
            Saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap jasad dan roh yang wujud di dalam dewan itu sudah tiba. Pengerusi majlis menyampaikan ucapan penutup. Setelah itu diumumkan pemenang bagi tempat ketiga dan kedua. Nasib tidak menyebelahi kami. Kumpulan kami tidak menyandang kedua-dua tempat itu. Tibalah masa untuk penyampaian hadiah bagi juara tahun ini.
“Juara bagi tahun ini disandang oleh…Soul of Syahidah dari Kumpulan Intellectual,Creatif and Inovatif.” Umum pengerusi majlis.
Aku terpaku. Kedengaran tepukan gemuruh oleh penonton.
“Umair…Umair. Kau dengar tak aku panggil ni?” Sergah Qayyum.
“Hah,ya.. Aku dengar ni.”
“Pergi la naik pentas ambil hadiah tu.”
Aku pantas ke hadapan, mengambil hadiah. Aku masih terkejut. Alhamdulillah, segala usaha yang kami lakukan berbaloi. Ternyata usaha kami untuk berdakwah melalui lakonan tidak dipandang enteng oleh pihak juri. Aku mengambil kesempatan untuk menyampaikan bait-bait kata pesanan terakhir dari As-Syahid Imam Hasan Al-Banna.Aku tujukan khas untuk perjuangan As-Syahidah Sofia.

“Wahai MUJAHIDAH DAKWAH!
Puluhan tahun lamanya, pendengaran, pergaulan, ketekunan, kegiatan berjuang, kerana jerih payah dan pembantingan tulang yang tiada hentinya.
Engkau telah kaya dengan pengalaman.
Engkau sekarang telah jadi.
Engkau telah memiliki pengertian dan ukuran.
Engkau telah turut menentukan jarum sejarah seperti orang lain.
Engkau telah sampai pula ke batas sejarah, kini dan nanti.
Engkau telah memenuhi hidupmu dengan tekun dan sungguh, ikut memikul yang berat menjinjing yang ringan, membawa batu-bata untuk membangun gedung Ummat ini.
Engkau tebus semua itu dengan cucuran keringat dan air mata, kesengsaraan dan penderitaan.”
 Aku akhiri bait-bait kata itu dengan ucapan khas aku tujukan buat sahabat-sahabat seperjuangan.
“Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menyampaikan bait-bait kata daripada As-syahid Imam Hasan Al-Banna sebentar tadi. Buat sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian teruskanlah perjuangan dalam bidang yang telah kita ceburi. Jangan sesekali mengalah walau diri diserang badai. Adat orang berjuang memang banyak mehnahnya. Semoga kita semua thabat dalam jalan ini.”
Majlis bersurai.
*****
“Alhamdulillah Umair. Adik aku dah selamat dalam pembedahan tu.” Hanif tersenyum ceria. Syukur.
“Alhamdulillah, baguslah. Lepas ni tak kan ada lagi yang duduk termenung tak tentu pasal.” Kataku menyindir. Kami ketawa.
Alhamdulillah, segalanya sudah pulih seperti biasa. Kami giat meneruskan gerak kerja dakwah di kampus. Bermacam mehnah dan tribulasi yang terpaksa kami tempuh namun aku gagahkan jua demi agama yang tercinta. Aku sungguh bahagia dalam jalan dakwah ini. Disebalik jalan ini ada sebuah kemanisan. Ya, Sungguh manis!

Maafkan Aku~

Sahabat
Sungguh aku rindu saat itu
Tika itu tiada sengketa antara kita
Tiada bermasam muka antara kita
Semua dilalui manis terasa
Semua bisa beralah walau diri disakiti
Adat berteman teman diaula kan
Sabar hadapi karenah
Tidak mengeluh walau sedikit

Sahabat
Aku rindu saat itu
Kita semua bahagia bersama
Aku rindu saat itu
Kita semua saling menyayangi
Aku amat merindui saat itu
Tika kita duduk ketawa bersama
Aku teramat rindu saat itu
Tika kita duduk berkongsi cerita

Kini
Segalanya bagai kian hilang
Makin hilang ditiup angin lalu
Bagai bebutir pasir dibawa ombak
Entah dimana silapnya
Bagai ada yang terguris dan dihiris
Ukhuwah kita kian rapuh
Tergigit sedikit sudah terkeluh
Silap sedikit bagai tidak ada kata maaf

Sahabat
Aku merindui saat itu
Masa kian berlalu
Membawa segala memori kita bersama
Memori bahagia saat diri masing-masing mula berdikari
Mengatur hidup sendiri
Tanpa ibubapa di sisi
Namun berteman sahabat dihati

Sahabat
Andai banyak salah aku pada kalian
Aku mohon berjuta kemaafan
Aku bukanlah insan sempurna
Aku tidak sebaik yang kalian sangka
Aku juga tidak sehebat kalian
Maaafkan aku andai kalian disakiti
Aku sungguh rindu saat bahagia KITA...
Tiada sengketa tiada luka...
Maafkan aku. 

Puasa



Puasa...
Puasa itu menahan
Dari yang haram
Pada bulan ramadhan

Puasa...
Mendidik jiwa
Agar kental
Hadapi hidup

Puasa...
Lambang kekuatan
Keutuhan iman
Keikhlasan hati

Puasa...
Berbuahkan takwa
Menjadi idaman
Pencinta Ilahi

 Puasa...
Sumber kekuatan
Rohani jasmani
Kehidupan insani