Wednesday 25 April 2012

Surat Untuk Adik


CERPEN

SURAT UNTUK ADIK
Oleh  Raihan Kasim

“ADIK sudah solat isyak?” tanya Abah sedikit lembut. Bimbang akan mengganggu emosi anak bongsunya saat itu. Tetapi adik hanya mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Tidak lama kemudian, dia bangun lantas masuk ke kamar kecilnya itu. Kamar kecil berwarna ungu dengan sedikit hiasan bercorak bunga. Dihias sendiri oleh abahnya.
            Abah hanya memerhati gelagat Adik.
            Petang itu seusai solat asar, Abah menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk kampung, Pak Cik Man. Beliau memberitahu bahawa adik dan rakan-rakan sekolahnya yang lain melepak di sebuah pusat membeli-belah dan tidak menutup aurat. Abah gusar. Cuba dikawal kemarahannya.
            “Adik tidak mahu baliklah abah!” jerit adik selepas dipaksa pulang ke rumah oleh abahnya.
            “Adik baliklah. Tidak elok dipandang orang anak dara duduk berpeleseran sebegini rupa di tempat awam seperti ini. Kalau adik ada barang yang mahu dibeli, mari abah belikan. Kemudian kita balik ya.” Pujuk abah sedikit lembut. Abah memang seorang ayah yang tidak berkasar dengan anak-anaknya.
            “Adik tidak mahu beli apa-apa pun. Cuma mahu duduk disini bersama kawan-kawan. Abah baliklah dahulu.”
            “Tudung adik mana? Kenapa tidak pakai?” Tanya abah setelah menyedari adik tidak menutup aurat kepalanya itu.
            “Kan sudah habis waktu sekolah. Adik sudah tanggalkan selepas pulang dari sekolah tadi. Ada di dalam beg itu.” Jawabnya selamba.
            Abah menggeleng tanda tidak setuju.
“Sudah, mari kita pulang. Abang kamu sudah lama tunggu di rumah.” Pinta abah sekali lagi.
Adik akur lantas mengekori abahnya menuju ke tempat letak kereta.
***
“ABAH sudah ceritakan semuanya kepada Abang.” Abang memulakan bicara.
Adik hanya diam. Sepi.
“Kenapa adik buat begitu? Abang sayangkan adik.”
“Apa ini abang?!” Suara adik sedikit keras. Direnung abangnya tajam.
“Adik melepak di pusat membeli-belah selepas waktu sekolah, tidak menutup aurat dan yang paling mengecewakan abang ialah adik lalai menunaikan solat. Kenapa boleh jadi begitu dik?”
Sepi.
“Adik tahukan solat itu tiang agama. Allah melarang hamba-hambaNya yang bertaqwa meninggalkan solat. Meninggalkan solat itu umpama runtuhnya tiang-tiang agama. Seperti sebuah rumah, solat itu boleh diandaikan sebagai tiangnya, jika tiada tiang maka runtuhlah rumah itu. Seperti itu juga solat.” Abang cuba menasihati adiknya itu.
Adik hanya menggangguk.
Mereka hanya dua beradik. Oleh itu, hubungan mereka sangat rapat meskipun jarak usia mereka agak jauh. Abang sudah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan dalam bidang Kedoktoran. Tahun kedua. Manakala, Adik hanyalah seorang gadis remaja yang baru berusia 14 tahun. Ibu mereka meninggal dunia selepas melahirkan adik.
“Adik janji dengan abang selepas ini tidak ulangi lagi ya?” pinta abang dengan lembut.
“Adik janji.” Ujarnya perlahan.
Selepas dinasihati abangnya adik sedikit berubah. Sudah tidak meninggalkan solat, menutup aurat dan tidak melepak selepas waktu sekolah. Namun, itu semua hanya bertahan untuk beberapa minggu. Tidak lama selepas itu, dia meneruskan tabiatnya yang lama. Malah, lebih teruk lagi apabila ditegur oleh abahnya adik sudah mula melawan.
“Kau ini Mira, kenapa tidak mahu melepak dengan kami seperti dahulu lagi?” Tanya seorang rakan sekelasnya.
“Malaslah. Aku hendak pulang terus ke rumah. Mahu ulangkaji pelajaran.” Adik menjawab sambil lewa. Sedikit tidak senang dengan soalan yang diajukan.
“Ala, sejak bila pula kawan kami yang seorang ini rajin ulangkaji pelajaran? Kau ini takutkan bapa kau ataupun memang mahu ulangkaji pelajaran? Anak manja!” Usik rakannya yang lain.
Adik menahan kemarahannya. Dia cukup tidak senang dengan apa yang diperkatakan rakannya itu. Dia berlalu pergi tanpa sepatah kata. Keadaan sebegitu berulang selama beberapa minggu. Hampir setiap hari dia digelar ‘anak manja’ kerana tidak mahu lagi bergaul dengan rakan-rakannya yang nakal itu. Akibat tidak tahan dengan ejekan daripada rakan-rakannya, dia kembali melakukan tabiat lamanya. Malah, lebih teruk.
Hampir setiap malam dia pulang ke rumah selepas waktu Maghrib. Sudah puas dinasihati oleh Abah tetapi dia tetap berdegil. Abangnya juga tidak mampu untuk melembutkan hati adik kesayangannya itu.
“Adik tahu tak perbuatan adik ini salah. Adik itu perempuan. Masih muda remaja. Mana boleh sesuka hati melepak sana sini tidak tentu arah seperti itu. Tidak manis dipandang orang,” Abah cuba menasihati.
Adik hanya buat-buat tidak tahu sahaja. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Abah sayangkan adik. Abah takut adik terlibat dengan benda-benda yang tidak elok. Zaman sekarang apa-apa pun boleh jadi. Abah harap adik dengarlah nasihat abah ini.” ujar Abah lembut.
“Sudahlah abah. Adik malaslah mahu dengar abah punya ceramah. Buat sakit telinga sahaja!” Adik mengherdik.
Abang yang ada disisi abah terkejut dengan kelakuan adiknya itu.
“Adik! Sejak bila pandai kurang ajar dengan abah ini?!” Abang menyoal sedikit kasar.
“Sudahlah. Abang pun sama sahaja!” Adik menghempas buku yang dipegangnya ke atas meja lantas beredar ke kamarnya.
Abah dan abang tergamam dengan sikap adik. Mereka tidak pernah menyangka akan jadi seperti itu.
Hari berlalu namun adik masih tidak berubah. Nasihat abah dan abangnya bagai menyiram air ke daun keladi. Sedikit pun tidak ada yang didengarinya.
Pagi itu, sebelum pergi ke pejabat Abah meletakkan sepucuk surat di bawah pintu bilik Adik. Dengan harapan anak kesayangannya itu akan membacanya. Tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Adik hanya membiarkan sahaja surat itu tanpa membaca kandungan di dalamnya. Begitu keras sekali hati adik waktu itu.
“Adik, pulang cepat. Abah kemalangan.” Berderau darah adik mendengar apa yang diberitahukan oleh abangnya melalui telefon. Dia terduduk di bangku pusat membelah-beli itu. Air matanya bercucuran.
“Abang datang ambil adik sekarang ya,” Ujar abangnya.
Adik tidak mampu untuk berkata walau sepatah. Dunia ini dirasakannya gelap. Panas terik pancaran matahari waktu itu langsung tidak dirasakannya. Sepanjang perjalanan menuju ke hospital adik hanya menangis, dia tidak berkata apa-apa walau sepatah pun. Resah abang melihat keadaan adiknya.
“Encik Hilman anak kepada Encik Zuhairi ya?” Tanya Doktor Iqbal kepada abang  setelah beliau keluar dari wad kecemasan.
Abang hanya menggangguk.
“Maafkan kami, encik. Kami sudah berusaha sedaya upaya kami. Namun, Allah lebih sayangkan ayah encik. Pendarahan di dalam otaknya begitu kritikal. Kami tidak mampu lakukan apa-apa.” Jelas doktor itu dengan nada sedikit kesal. Simpati.
Abang terduduk di atas lantai. Air mata adik bercucuran deras bagai derasnya deruan air terjun. Hatinya berombak. Bagai dilambung badai. Hanya Allah yang tahu perasaannya ketika itu.
Kehadapan,
Anakku.
Adik Amira yang sangat abah sayangi.
Adik, abah sangat sayangkan adik. Bagi abah, selepas pemergian arwah mama adiklah pengganti mama. Sifat dan rupa adik yang comel persis mama. Setiap kali abah pandang wajah adik pasti abah teringatkan arwah mama. Isteri yang sangat abah sayang. Abah tidak pernah ceritakan kepada adik perihal pemergian mama. Untuk pengetahuan adik, arwah mama meninggal selepas melahirkan anak. Semasa mengandung mama disahkan telah menghidap satu penyakit berbahaya. Penyakit itu menyebabkan mama hanya boleh membuat pilihan sama ada mama mahu teruskan hidup dan menggugurkan anak di dalam perutnya itu atau sebaliknya. Abah berusaha untuk memujuk mama supaya menggugurkan sahaja anak di dalam kandungannya itu. Tetapi mama tetap berdegil, dia tetap mahukan anak itu terus hidup. Katanya, biarlah dia beri peluang kepada anak itu pula untuk hidup, dia sudah puas dengan kehidupan ini. Dia sangat sayangkan anak di dalam kandungannya. Apatah lagi setelah mengetahui anak itu adalah bayi perempuan, anak yang dinantikan selama ini. Mama sangat gembira dan tidak mahu menggugurkan. Hari-hari terakhir mama hidup, dia sangat gembira menantikan kelahiran itu. Abah cukup gembira dan reda dengan pilihan mama walaupun jauh di sudut hati abah tidak sanggup berpisah dengan mama. Sampailah masa yang dinantikan, bayi itu lahir. Alhamdulillah, cukup sifat. Tetapi mama telah meninggal dunia sewaktu melahirkan bayi itu. Bayi itu adalah Adik. Nur Amira binti Zuhairi. Adik anak abah. Hanya Allah yang tahu betapa peritnya rasa kehilangan seorang isteri ketika itu. Selepas itu abah jaga dan rawat Adik bagai menatang minyak yang penuh. Seperti mana abah sayangkan mama seperti itulah abah curahkan kasih sayang abah pada adik. Adik seperti matahari buat abah. Memberi sinaran pada siang hari untuk abah meneruskan hidup dan tetap memberikan keceriaan kepada abah meskipun malam menjengah. Persis matahari yang tetap memberikan sinarnya buat bulan untuk bercahaya pada waktu malam. Itulah Adik bagi diri abah. Sangat beerti. Abah tidak pernah memarahi adik walau senakal mana pun adik. Tetapi hari itu, hati abah sangat terguris. Parut kesedihan abah selepas kematian arwah mama luka kembali. Merobek hati abah. Adik meninggikan suara kepada abah. Tidak hormatkan abah dan abang. Hancur hati abah. Saat itu abah rasakan matahari yang bercahaya selama ini terus malap. Tidak mengeluarkan cahayanya. Dunia gelap seketika.

Adik,
Menutup aurat itukan tuntutan Allah. Allah perintahkan kita supaya lakukan apa yang baik dan tinggalkan perkara-perkara yang tidak baik. Adik anak yang solehah tutuplah aurat kamu. Pakai tudung itu bukan hanya di sekolah tetapi di semua tempat. Tunaikanlah solat. Seperti yang pernah abang beritahu kepada adik bahawa solat itu tiang agama kan? Adik masih ingat? Abang ada ceritakan pada abah tentang itu. Jadi solat itu wajib. Jika kita tinggalkan solat, maka kita akan berdosa. Adik pernah dengar tidak, seorang ayah akan menanggung dosa anaknya jika tidak menjalankan kewajipan mendidik anak untuk patuh pada ajaran Allah. Ayah rasakan seperti sudah gagal untuk mendidik adik. Gagal! Adik sudah akil baligh dan masih di bawah tanggungan abah selagi adik tidak berkahwin. Jadi semua dosa yang adik lakukan sekarang adalah tanggungjawab abah. Adik mahu ke abah tanggung semua dosa-dosa yang adik lakukan? Tidak kesiankan abah? Diseksa di akhirat kelak hanya kerana perbuatan dosa seorang anaknya. Abah sayangkan adik. Adik fikirlah. Abah tunggu adik berubah.
                                   
                                                                                          Daripada,
                                                                                       Abah.
Helaian surat itu basah. Air matanya bercucuran. Meskipun sudah berkali-kali dia membaca surat itu setelah hampir 10 tahun kematian abahnya. Namun, dia tidak pernah jemu. Dia kesal dengan apa yang terjadi. Direnungnya surat itu penuh syahdu.

‘Maafkan adik, abah! Adik berdosa dengan abah. Moga abah bahagia disana. ’
Surat itu dipeluknya erat. Abah juga adalah matahari bagi adik!

TAMAT

Semuanya Akan Berakhir


Keindahan bulan,

Kerlipan bintang yang menyinari malam,

Sinar pancaran matahari,

Rimbunnya pohon di pesisir pantai,

Jernihnya air di lautan luas,

Semuanya akan berakhir.