Friday 30 September 2011

Titipan Rasa

Ya Allah..
Sekali lagi kau titipkan aku dengan rasa ini,
Kau uji kekuatan imanku,
Sekental mana keutuhan jiwaku.

Ya Allah,
Aku pohon padamu,
Peliharalah hati ini,
Untuk terus dijaga.

Ya Allah,
Mungkin ada hikmah yang tersingkap,
Yang tak dapat diungkap,
Jua tak dapat ditangkap.

Ya Allah,
Semoga segalanya menjadi yang terbaik,
Untuk kehidupan seorang insan,
Demi  AGAMA Mu .

Thursday 22 September 2011

Jauhar Rasa.

Saat tekanan menghimpit diri tiada siapa mampu tangani dan hampiri untuk mengubati. Hanya kekuatan iman yang tersemat di nubari jadi bekalan. Pembimbing diri menjaga peribadi. Kelelahan,kepenatan dan kewalahan menjadi ungkapan yang terungkap di bibir. Menyelubungi diri. Segala usaha yang dilakukan seakan sia-sia. Bagaikan langsung tiada nilai di mata manusia. Bukan aku pinta nilaian natijah gemilang tapi sekurang-kurangnya hargai. Menghargai itu lebih penting.
Namun,diri ini cuba untuk meneutralkan kembali cecairan asid yang sesekali tumpah dikotak minda. Mungkin yang aku alami ini hanya pandangan dari manusia terhadap insan yang serba dhoif ini,tetapi apa pula pandangan Allah terhadap ku? Itu lebih penting. Fikirku. Mungkin lebih teruk. Aku cuba untuk bermuhasabah di balik tiap garis duka yang tercipta agar tidak hanya larut dalam larutan asid yang tercipta.
 Sungguh mereka insan yang di anugerahkan oleh Allah dengan kelebihan yang tiada pada diri ini. Itu ternyata kelebihan mereka. Mungkin itu penyebab mereka lebih berkilau dari kilauan jauhar yang lain. Tapi adilkah bagi insan-insan yang punyai nasib seperti aku? Ya,itu memang bukan persoalannya. Allah memang Maha Adil,Maha Mengetahui apa yang tidak hambaNya ketahui. Itu kelebihan mereka,aku juga punya kelebihan yang mungkin masih tidak ku sedari.
Merenung kembali kalam Allah yang menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. Benar-benar membuka mata. Usaha kita dinilai oleh Allah bukan oleh mata pena yang menulis di atas lembaran kertas.
Bertitik tolak dengan itu, ketabahan hati teruji minda berdiskusi. Aku sematkan dalam diri usaha sebaik mungkin. Itu sudah cukup. Biarlah orang lain melihat hasil usaha yang tercipta itu bagai tiada langsung titik untuk menghargai segala usaha kita. Aku hanya mampu untuk mengharap nilaian jauhar dari MU,Ya Allah... Itu lebih baik. Jauhar rasa MU lebih bermakna.

Thursday 15 September 2011

Desiran Ujian

 Angin bayu berdesir lembut,rintik hujan mulai turun. Menyapa lembut pipi. Hening dan tenangnya saat ini. SubhanAllah,sungguh indah ciptaanMU. Angin,hujan... Anugerah yang tidak terhingga dari MU buat hambaMU yang cukup cintakan ketenangan ini. Merasai dan menikmati. 


Memerhati alam sekeliling membuatkan aku berfikir ‘Alangkah cantiknya ciptaan Allah’. Pokok hijau subur melata. Bunga-bunga hidup subur berwarna-warni mewarnai hidup sang makhluk yang lain. Mewarnai anak mata setiap kali memandang. Ibarat pelangi yang memberi sinar yang cantik pada pandangan mata hamba yang bergelar manusia saat pandangan ke sudut lain menyesakkan mata. 

Sudah menjadi sunnatullah bahawa setiap hambaNYA akan diuji. Namun,setiap ujian daripada Allah kepada setiap dari hambaNYA adalah berbeza. Aku diuji dengan cara begini,kamu diuji dengan cara begitu dan dia diuji dengan cara demikian. Berbeza semuanya. Jadi tidak ada ruang untuk kita mengatakan yang hanya kita sahaja diuji serta mempunyai masalah dan orang lain tidak. Kerana pada hakikatnya,setiap hambaNYA pasti akan diuji. Cuma bagaimana cara kita untuk menangani dan menghadapi setiap ujian itu. Andai langkah yang diambil adalah betul,maka mudahlah untuk kita selesaikan setiap ujian dan masalah yang bertandang tanpa dijemput itu. 

Namun,ujian dalam arena dakwah datang silih berganti. Bagai tidak ada hentinya untuk menguji ketetapan hati seorang dai’e. Diuji dari segenap sudut. Masalah persahabatan,gerak kerja,keluarga dan tidak terkecuali fokus utama sebagai pelajar,masalah pembelajaran akademik. Suka untuk saya coretkan disini petikan kata-kata yang dibaca dari sebuah laman sesawang.
Ujian itu satu tarbiyah daripada Allah,
Semakin dekat diri kepadanya,
Semakin kuat taufan yang melanda,
Biar rebah, Jangan berubah,
Biar terbuang ,Teruslah berjuang.
Senyum mujahid Memburu syahid
Kata-kata diatas cukup bermakna bagi insan yang berfikir dan memerhati. Menyuntik semangat. Ya,ujian adalah tarbiah dari Allah untuk menguji kekuatan dan keteguhan iman kita kepada Allah. Semakin galak dan garang kita beribadat kepada Allah makin banyak ujian yang bertamu. Bagai tiada hentinya.
Namun,tidak dapat dinafikan ujian juga ibarat penambah rasa dalam masakan kehidupan. Yang terkadang manis, masin dan pahit,itulah ujian. Menyempurnakan masakan kehidupan. 
Dalam menghadapi liku-liku hidup bertemankan ujian terkadang ramai yang tersalah andaian dan penilaian terhadap insan yang ditimpa ujian. Salah faham dan salah sangka terhadap insan yang diuji tidak dapat dipisahkan dalam pelayaran melayari setiap ujian. Sehinggalah kita sendiri yang merasai dan menanggung sendiri bebanan yang pernah dilalui oleh insan yang pernah kita ‘nilai’ dan membuat ‘penilaian’ suatu ketika disaat mereka dibebani ujian. Walaubagaimana pun, pengalaman diuji antara kamu dan dia tetap berlainan meski pun diuji tentang perkara yang ‘sama’. 

Lumrah manusia suka untuk membuat penilaian dengan pandangan mata kasar tanpa berfikir dan memerhati dengan mata hati. Siapa tahu insan yang dinilai itu sesunggguhnya amat dibebani dengan bebanan yang berat dan getir bagi dirinya. Kita sebagai insan yang berada disamping mereka harus sedar dan faham kondisi mereka. 

Ya,memang mudah untuk sekadar meluahkan kata-kata dan mencoret sini sana tetapi sukar untuk melaksana. Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlalu mudah untuk menilai setiap perbuatan mereka saat mereka diuji. Terkadang penilaian insan sekeliling saat diri mereka diulit bebanan dan ujian juga boleh menambahkan beban. Jangan biarkan diri kita menambahkan tekanan mereka yang sudah sedia ada. Sebaliknya jadilah insan yang memberi sinar baru buat diri mereka.