Friday 4 November 2011

Layar Hidup

 Hidup ini tidak semudah hanya berbicara menuturkan kata. Tidak juga semudah menarikan pena di atas kertas dan menulis. Hidup ini penuh misteri. Penuh dengan kejutan silih berganti. Ujian datang menguji kekuatan mental dan rohani. Menguji sekuat mana pegangan kita dengan janji Allah. Setiap manusia cuba untuk kuat meneruskan hidup dengan menempuh ranjau berduri. Namun,adakalanya kaki tidak cukup kuat untuk melangkah meneruskan perjalanan ke destinasi.
Sungguh,itu bukan penamat bagi perjuangan hidup. Pelayaran kehidupan masih lagi panjang. Masih perlu terus dilayarkan ke destinasi kebenaran. Andai saat itu kita jatuh,kita harus segera bangkit. Gagal sekali tidak bermakna kita akan terus gagal buat selamanya. Allah sentiasa memberi peluang untuk kita perbaiki diri. Bangkitlah! Bangkit mencari ubat buat penenang diri jua ubat untuk kekuatan rohani dan jasmani supaya kaki tetap mampu untuk melangkah dan terus berjalan serta berlayar ke destinasi yang dituju. Kita perlu terus berusaha.
Walaupun sudah acapkali kita jatuh dan bangkit. Halangan datang tidak pernah mengenal erti penat untuk terus menguji dan menyakiti kita dalam episod perjuangan sebuah kehidupan ini. Tetapi kita tetap perlu kuat untuk menempuh semuanya. Seringkali, diri kita cukup kuat dan cukup berani untuk memberi kekuatan dan semangat kepada orang lain tika mereka dilanda keresahan dan kesedihan.
Namun, apabila diri kita yang menempuh segalanya, mudah sekali kita melatah. Penat dengan kehidupan. Duhai insan, ketahuilah Allah sudah aturkan setiap sesuatu itu terbaik buat hambaNya. Tiada yang sia-sia melainkan yang terbaik. Cuma mungkin pada awalnya itu akan menyakitkan dan menyeksa dirimu. Bersabarlah insan dalam menempuh dugaan hidup ini.
Cari kekuatan dan bimbingan. Setiap yang berlaku pasti adalah yang terbaik buat kita. Selaklah kitab suci Al-Quran. Sujudlah padaNya. Galilah hikmahnya. Nescaya kamu akan mendapat ketenangan yang hakiki. Mengadulah padaNya kerana DIA adalah sebaik-baik teman. Sentiasa ada dikala suka dan duka.
Ya Allah,berikanlah hamba-hambamu ini kekuatan dalam menempuh pelbagai mehnah hidup yang kelak akan mematangkan kami serta membuka mata hati kami akan kebesaran kurniaanMu.
Kuatkan diri.
Galilah hikmahnya!

No comments:

Post a Comment