Saturday 5 November 2011

Lakaran Pengorbanan


PENGORBANAN! Tidak semua orang mampu untuk melakukan sebuah pengorbanan. Ia tidak semudah yang difikirkan. Mungkin jika kita tidak mengalami sesuatu peristiwa yang memerlukan pengorbanan, kita dengan mudah akan berkata kepada insan lain 'Cuba la berkorban sikit'. Ya! Berkata-kata dan memberikan kata semangat untuk orang lain memang mudah. Tetapi untuk orang yang mengalaminya, ia teramat perit. Tidak salah untuk terus memberikan semangat kepada orang lain tetapi kadangkala kita juga perlu berkorban untuk memahami situasi mereka saat itu.
Pengorbanan memerlukan ijtihad yang sangat tinggi. Sangat sukar untuk melakukannya tanpa ada ketabahan,kekentalan dan kepercayaan yang tinggi terhadap qada dan qadar yang Allah telah tetapkan. Tanpa berlapang dada dan menyelak segala hikmah yang terbaik buat kita, kita tidak akan mampu untuk melakukan sebuah pengorbanan. Iman yang kuat dan sentiasa mengharapkan reda Ilahi akan membuatkan kita sanggup untuk berkorban.
Pengorbanan itu terlalu subjektif. Sukar untuk mendefinisikannya. Dari sekecil-kecil perkara juga tanpa kita sedari adalah sebuah pengorbanan. Berkorban demi keluarga, sahabat, kerjaya, pelajaran dan tidak lupa juga agama. Itu tidak mudah. Berkorban untuk yang tersayang, Allah! Itulah pengorbanan yang hakiki. Dengan rasa cinta dan mengharap akan redaNya, kita akan sanggup untuk melakukan apa sahaja.
 Berjuang di medan ilmu dan perjuangan menegakkan Islam memerlukan pengorbanan yang tinggi. Berkorban waktu, tenaga, wang ringgit jua jiwa dan raga hanya untuk itu. Tadhiyah yang sangat tinggi. Mampukah kita untuk semua itu? Walaupun sesekali kita bakal tersadung dan terjatuh dari medan-medan itu, perjuangan tetap perlu diteruskan. Pengorbanan sangat perlu untuk terus bangkit. Berkorban rasa sakit dan  peritnya dalam perjuangan saat tersungkur jatuh.
Begitulah jua kisah tentang pengorbanan seorang ayah dan anaknya. Alkisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sanggup untuk berkorban demi melaksanakan perintah Allah meski pun terpaksa untuk menyembelih anaknya sendiri. Cukup besar nilai pengorbanan mereka sehingga Allah menjadikan ia hari yang penuh bersejarah. Umat Islam menyambut dan meraikannya saban tahun. Mengerjakan haji juga berkait rapat dengan sejarah pengorbanan mereka. Begitu tinggi sanjungan dan reda Allah terhadap para nabinya itu sehingga dirai sebegitu rupa. Kita pula bagaimana?
Ini hanyalah mukadimah terhadap perjalanan hidup kita yang masih panjang. Binalah semangat dan jangan lemah! Mungkin kali ini kita hanya terkena percikan serpihan kaca yang pecah dan siapa tahu kelak kita akan terpijak serpihan kaca itu. Jadi berkorbanlah dari saat ini untuk mengelakkan diri kita dari terluka tanpa redaNya.
Berkorbanlah! InsyaAllah,kelak kamu akan lihat matahari sentiasa memancarkan cahayanya untukmu dan pelangi juga akan menunjukkan kepelbagaian sinar warnanya buat tatapanmu.

Dari jauh ku termenung sepi,
Mengingat kembali sebuah memori,
Kenangan silam yang tidak terperi,
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan isteri.

Siti sarah isteri mithali,
Mengharapkan payung emas diungguli,
Diizinkannya si suami berpoligami,
Demi memenuhi hajat di nubari.

Siti Hajar akhirnya dinikahi,
Walau berat rasa dihati,
Ibrahim turutkan jua kehendak isteri,
Demi keluarga yang disayangi.

Hidup mereka bahagia sekali,
Sentiasa dipayungi rahmat Ilahi,
Tiada sengketa sesama sendiri,
Demi menjaga hati suami.

Indahnya khabar tidak terperi,
Hajar hamil riuh sekali,
Ibrahim senyum suka hati,
Sarah diterpa iri hati.

Lahirnya putra yang dinanti,
Pengubat hati ayah dan umi,
Pengarang jantung hati,
Ismail nama diberi.

Hajar berpisah dengan suami,
Dek Sarah yang iri hati,
Tinggallah Ismail bersama  umi,
Mengharap kasih dari Ilahi.

Seruan tiba dari Ilahi,
Melalui kuasa sang mimpi,
Runsing bertandang kembali,
Untuk berpisah buat kedua kali.

Ibrahim akur membuka hati,
Menerima segala ketentuan Ilahi,
Ismail reda pada yang hakiki,
Pasti tersingkap hikmah yang dijanji.

Bersedia mereka untuk diuji,
Dengan kehilangan anak pengubat hati,
Janji Allah itu pasti,
Mereka diberi ganjaran yang dijanji.

Anak ditebus sembelihan diganti,
Cukup agung ketentuan Ilahi,
Buat kesedaran umat kini,
Pengorbanan itu indah sekali.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua umat Islam di dunia. ^_^

1 comment: