Thursday 6 October 2011

Nakhoda Harapan

Kembara semalam memberi seribu satu makna dalam hidup saya dan rehlah kelmarin punya hikmahnya tersendiri. Dek kerana keupayaan yang terbatas dan keadaan yang tidak mengizinkan saya untuk pulang terus ke rumah, saya mengambil keputusan untuk memulakan cuti di kampung tercinta. Peluang yang ada dimanfaatkan. Dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah salah seorang sahabat tercinta kami memulakan perjalanan. Berat rasa hati untuk meninggalkan bumi bertuah NILAI yang amat berNILAI bagi diri saya. Pada hemat orang lain sudah tentu tiada apa yang hendak dihairankan dengan NILAI, tempat yang terkenal dengan kain-kain yang murah,langsir-langsir yang cantik. Namun bagi diri saya dan sahabat-sahabat seperjuangan NILAI amat luar biasa bagi kami. Tempat kami memulakan hidup alam remaja. Belajar erti hidup dan kematangan. Disitulah kami ditarbiyah dan mentarbiyah. Semua suka duka persahabatan dan liku-liku dalam menuntut ilmu berlaku di bumi bertuah itu.
            Bukanlah tujuan saya untuk mencoret kisah tentang bumi bertuah itu. Tetapi hasrat hati saya untuk meluahkan kata tentang sesuatu yang saya kira amat penting untuk tatapan semua,terutama buat seorang PEMUDA. Alkisahnya bermula semasa saya dalam perjalanan pulang ke kampung. Kami melalui beberapa buah masjid. Ada yang kecil dan sederhana sahaja. Ada pula yang besar,cantik dan gah sekali di pandangan mata. Akan tetapi begini pula cerita yang saya dengar dari ayah sahabat saya itu.
Si ayah memulakan perbualan, “Ni la masjid besar kat sini” .
Saya bersuara memuji,  “Cantik”.
Si anak pula menyambung perbualan, “Ya la..Masjid ni pernah dah singgah dulu.Masa on the way balik Kelantan”.
“Tapi sayangnya tak de imam pun. Solat subuh hari tu abah yang jadi imam sebab tak ada imam. Makmum ada la dalam 5 orang masa tu”
Kami terdiam. Mengejutkan. Masjid yang tersergam indah tetapi tiada orang yang memakmurkannya tiada yang mengimarahkannya. MasyaAllah!
“Abah lagi suka pergi masjid yang satu lagi. Ramai orang tapi jauh sangat.”
“Ramai orang pun, tak berapa ada imam juga. Ada 2,3 orang imam tapi budak-budak muda lagi... Baca surah pun tak betul lagi. Kalau tak sebab dapat gaji mesti tak ada yang nak jadi imam.”
Kami hanya mendengar. Saya tersentak. Berfikir penuh resah. Tamat! Cerita tamat disitu.
            SubhanAllah! Pelbagai rasa menerpa dihati semasa mendengar luahan kata dari ayah sahabat itu. Terkejut, terkedu, resah menyelubungi diri. Mana pergi semua imam-imam? Mana pergi si ayah yang menjadi imam si anak? Mana pergi si suami yang menjadi imam si isteri? Mana pergi si pemuda yang menjadi imam penyambung rantai perjuangan? Sudah hilangkah di muka bumi ini? Sudah tiadakah yang mampu untuk menjadi imam? MasyaAllah. Kalau sekarang pun keadaan sudah begini. Bagaimana akan datang? Bagaimana pula 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah nanti bukan sahaja masjid yang tiada imam tetapi masjid juga tidak wujud? Astaghfirullah! Saya doakan itu tidak berlaku.
            Sedih sekali ketika itu. Fikiran terus menerawang. Memikirkan hal itu. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa dan cuba muhasabahkan diri. Mungkin ada hikmahnya hal ini sampai ke gegendang telinga saya tika itu. Ya,mungkin Allah mahu saya dan sahabat yang lain menjadi hambaNya yang lebih baik. Nasihat saya kepada sahabat MUSLIMIN dan PEMUDA di luar sana. Jadilah seorang muslim yang baik supaya menjadi seorang IMAM yang mampu menjadi IMAM buat keluarga,isteri dan anak-anak. Jadilah seseorang yang mampu untuk menjadi IMAM buat masyarakat. Seseorang yang mampu berbakti kepada agama Allah. Doaku pada kalian terutama kepada rakan-rakan seperjuanganku. Semoga kalian mampu untuk menjadi IMAM yang baik bagi isteri kalian kelak, semoga kalian mampu untuk melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah. Buat sahabat-sahabat semoga kalian mampu menjadi nakhoda yang baik untuk mengemudi pelayaran dalam kehidupan seorang isteri dan anak-anak kerana kalianlah yang akan mencorakkan kehidupan mereka. Amin...

No comments:

Post a Comment