Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Friday, 26 October 2012

What you give, you get back.



“Apa hujah anda untuk berkata demikian? Saya tak setuju.”
“Itu pendapat saya sahaja. Terserah pada saudara untuk menerima atau tidak.”

Seringkali kita mendengar dialog seperti itu. Perbezaan pendapat sering berlaku. Tidak kiralah di dalam persatuan di peringkat sekolah dan universiti sehingga ke organisasi profesional. Setiap orang ada pandangan daripada perspektif mereka yang tersendiri. Mereka punya fahaman dan cara pemikiran sendiri. Sebagai seseorang yang bersifat terbuka dan berakhlak kita mestilah berfikir secara rasional. Bukan beremosi. Raikanlah setiap pandangan! Selagi ianya berlandaskan syariat. Mereka juga punya hujah tersendiri dalam menyatakan pendapat. Jangan pernah kita katakan hujah dan pandangan kita sahaja yang benar. Itu langsung tidak membantu dalam proses perkembangan positif hidup seorang insan.
Pandangan yang berbeza mampu untuk memperbaiki setiap kelemahan dalam sesebuah kumpulan masyarakat. Jangan sesekali kita melihat siapa yang memberikan pandangan tetapi dengarlah apa pandangannya. Jika benar, kita harus meraikannya meskipun hujah dan pandangan tersebut datang daripada orang yang sangat kita benci. Bersifat terbukalah! Secara tidak langsung ia akan membantu diri kita mencapai kematangan dalam hidup. Kematangan berfikir!
Seringkali kita dengar istilah what you give, you get back. Cubalah! Sekali sahaja kita meraikan pendapat orang lain, tidak mustahil di lain masa orang lain pula akan meraikan pendapat kita. Walaupun mungkin orang yang meraikan pendapat kita itu bukanlah orang yang kita raikan pendapatnya sebelum ini tetapi kebaikan yang kita lakukan sebelum ini telah dibalas oleh insan lain. Itulah Golden Rule! Ia bukan sahaja untuk kebaikan tetapi juga kejahatan.
Do unto others as you would have them do unto you.
         Jika kita berikan kejahatan, kejahatan jugalah yang akan kembali kepada kita. Cuma mungkin caranya sahaja berbeza. Begitu juga dalam konteks meraikan pendapat orang lain, konsep Golden Rule boleh dipraktikkan. Tapi keikhlasan meraikan juga harus dipupuk!


Thursday, 25 October 2012

Zulhijjah tiba lagi~



"Zikirlah, tunggu sampai malam." Mesej ringkas yang dihantar oleh Abah semasa berada di Padang Arafah hari ini. Cukup menjentik nubari yang sering leka dibuai keenakan duniawi.
Alhamdulillah, untuk kesekian kalinya Abah sekali lagi menjadi tetamu Allah di bumi Makkah Al-Mukarramah itu. Sebelum ini, beliau telah menjejakkan kakinya ke sana semasa masih bergelar mahasiswa di timur tengah. Allah murahkan rezekinya untuk ke sana lagi dan kali ini pergi sebagai pengiring ayah mertuanya. Semoga semua jemaah haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur.
Syukur setelah setahun berlalu kini tiba lagi bulan Zulhijjah. Bulan yang meraikan erti pengorbanan seorang hamba buat Pemiliknya Al-Khaliq. Wukuf di Arafah telah selesai dan jemaah haji bakal berangkat ke Muzdalifah dan Mina pula sebelum pulang semula ke Makkah.
 Tahniah bagi insan-insan yang berjaya berpuasa sunat Hari Arafah pada hari ini dan memanfaatkan sepenuh waktu untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah. InsyaAllah, Semoga segala doa yang dimohon akan diperkenankan oleh Allah S.W.T. 
Tiada apa yang mampu saya kongsikan untuk sahabat-sahabat sempena bulan pengorbanan pada tahun ini melainkan sedikit perkongsian saya berkaitan pengorbanan yang ditulis setahun yang lalu, semoga masih ada manfaatnya. Artikel yang sama yang pernah saya keluarkan di blog ini dan juga ada diterbitkan di web yang berlainan. Boleh klik pada mana-mana pautan mengikut keselesaan masing-masing : Artikel di Blog iniArtikel di MarufClub.com, dan Artikel di FaceBook.
Harapan saya, semoga kita semua dapat mengambil 'ibrah daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebagai hamba Allah. 
Selamat Membaca!





Saturday, 5 November 2011

Lakaran Pengorbanan


PENGORBANAN! Tidak semua orang mampu untuk melakukan sebuah pengorbanan. Ia tidak semudah yang difikirkan. Mungkin jika kita tidak mengalami sesuatu peristiwa yang memerlukan pengorbanan, kita dengan mudah akan berkata kepada insan lain 'Cuba la berkorban sikit'. Ya! Berkata-kata dan memberikan kata semangat untuk orang lain memang mudah. Tetapi untuk orang yang mengalaminya, ia teramat perit. Tidak salah untuk terus memberikan semangat kepada orang lain tetapi kadangkala kita juga perlu berkorban untuk memahami situasi mereka saat itu.
Pengorbanan memerlukan ijtihad yang sangat tinggi. Sangat sukar untuk melakukannya tanpa ada ketabahan,kekentalan dan kepercayaan yang tinggi terhadap qada dan qadar yang Allah telah tetapkan. Tanpa berlapang dada dan menyelak segala hikmah yang terbaik buat kita, kita tidak akan mampu untuk melakukan sebuah pengorbanan. Iman yang kuat dan sentiasa mengharapkan reda Ilahi akan membuatkan kita sanggup untuk berkorban.
Pengorbanan itu terlalu subjektif. Sukar untuk mendefinisikannya. Dari sekecil-kecil perkara juga tanpa kita sedari adalah sebuah pengorbanan. Berkorban demi keluarga, sahabat, kerjaya, pelajaran dan tidak lupa juga agama. Itu tidak mudah. Berkorban untuk yang tersayang, Allah! Itulah pengorbanan yang hakiki. Dengan rasa cinta dan mengharap akan redaNya, kita akan sanggup untuk melakukan apa sahaja.
 Berjuang di medan ilmu dan perjuangan menegakkan Islam memerlukan pengorbanan yang tinggi. Berkorban waktu, tenaga, wang ringgit jua jiwa dan raga hanya untuk itu. Tadhiyah yang sangat tinggi. Mampukah kita untuk semua itu? Walaupun sesekali kita bakal tersadung dan terjatuh dari medan-medan itu, perjuangan tetap perlu diteruskan. Pengorbanan sangat perlu untuk terus bangkit. Berkorban rasa sakit dan  peritnya dalam perjuangan saat tersungkur jatuh.
Begitulah jua kisah tentang pengorbanan seorang ayah dan anaknya. Alkisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sanggup untuk berkorban demi melaksanakan perintah Allah meski pun terpaksa untuk menyembelih anaknya sendiri. Cukup besar nilai pengorbanan mereka sehingga Allah menjadikan ia hari yang penuh bersejarah. Umat Islam menyambut dan meraikannya saban tahun. Mengerjakan haji juga berkait rapat dengan sejarah pengorbanan mereka. Begitu tinggi sanjungan dan reda Allah terhadap para nabinya itu sehingga dirai sebegitu rupa. Kita pula bagaimana?
Ini hanyalah mukadimah terhadap perjalanan hidup kita yang masih panjang. Binalah semangat dan jangan lemah! Mungkin kali ini kita hanya terkena percikan serpihan kaca yang pecah dan siapa tahu kelak kita akan terpijak serpihan kaca itu. Jadi berkorbanlah dari saat ini untuk mengelakkan diri kita dari terluka tanpa redaNya.
Berkorbanlah! InsyaAllah,kelak kamu akan lihat matahari sentiasa memancarkan cahayanya untukmu dan pelangi juga akan menunjukkan kepelbagaian sinar warnanya buat tatapanmu.

Dari jauh ku termenung sepi,
Mengingat kembali sebuah memori,
Kenangan silam yang tidak terperi,
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan isteri.

Siti sarah isteri mithali,
Mengharapkan payung emas diungguli,
Diizinkannya si suami berpoligami,
Demi memenuhi hajat di nubari.

Siti Hajar akhirnya dinikahi,
Walau berat rasa dihati,
Ibrahim turutkan jua kehendak isteri,
Demi keluarga yang disayangi.

Hidup mereka bahagia sekali,
Sentiasa dipayungi rahmat Ilahi,
Tiada sengketa sesama sendiri,
Demi menjaga hati suami.

Indahnya khabar tidak terperi,
Hajar hamil riuh sekali,
Ibrahim senyum suka hati,
Sarah diterpa iri hati.

Lahirnya putra yang dinanti,
Pengubat hati ayah dan umi,
Pengarang jantung hati,
Ismail nama diberi.

Hajar berpisah dengan suami,
Dek Sarah yang iri hati,
Tinggallah Ismail bersama  umi,
Mengharap kasih dari Ilahi.

Seruan tiba dari Ilahi,
Melalui kuasa sang mimpi,
Runsing bertandang kembali,
Untuk berpisah buat kedua kali.

Ibrahim akur membuka hati,
Menerima segala ketentuan Ilahi,
Ismail reda pada yang hakiki,
Pasti tersingkap hikmah yang dijanji.

Bersedia mereka untuk diuji,
Dengan kehilangan anak pengubat hati,
Janji Allah itu pasti,
Mereka diberi ganjaran yang dijanji.

Anak ditebus sembelihan diganti,
Cukup agung ketentuan Ilahi,
Buat kesedaran umat kini,
Pengorbanan itu indah sekali.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua umat Islam di dunia. ^_^

Friday, 4 November 2011

Layar Hidup

 Hidup ini tidak semudah hanya berbicara menuturkan kata. Tidak juga semudah menarikan pena di atas kertas dan menulis. Hidup ini penuh misteri. Penuh dengan kejutan silih berganti. Ujian datang menguji kekuatan mental dan rohani. Menguji sekuat mana pegangan kita dengan janji Allah. Setiap manusia cuba untuk kuat meneruskan hidup dengan menempuh ranjau berduri. Namun,adakalanya kaki tidak cukup kuat untuk melangkah meneruskan perjalanan ke destinasi.
Sungguh,itu bukan penamat bagi perjuangan hidup. Pelayaran kehidupan masih lagi panjang. Masih perlu terus dilayarkan ke destinasi kebenaran. Andai saat itu kita jatuh,kita harus segera bangkit. Gagal sekali tidak bermakna kita akan terus gagal buat selamanya. Allah sentiasa memberi peluang untuk kita perbaiki diri. Bangkitlah! Bangkit mencari ubat buat penenang diri jua ubat untuk kekuatan rohani dan jasmani supaya kaki tetap mampu untuk melangkah dan terus berjalan serta berlayar ke destinasi yang dituju. Kita perlu terus berusaha.
Walaupun sudah acapkali kita jatuh dan bangkit. Halangan datang tidak pernah mengenal erti penat untuk terus menguji dan menyakiti kita dalam episod perjuangan sebuah kehidupan ini. Tetapi kita tetap perlu kuat untuk menempuh semuanya. Seringkali, diri kita cukup kuat dan cukup berani untuk memberi kekuatan dan semangat kepada orang lain tika mereka dilanda keresahan dan kesedihan.
Namun, apabila diri kita yang menempuh segalanya, mudah sekali kita melatah. Penat dengan kehidupan. Duhai insan, ketahuilah Allah sudah aturkan setiap sesuatu itu terbaik buat hambaNya. Tiada yang sia-sia melainkan yang terbaik. Cuma mungkin pada awalnya itu akan menyakitkan dan menyeksa dirimu. Bersabarlah insan dalam menempuh dugaan hidup ini.
Cari kekuatan dan bimbingan. Setiap yang berlaku pasti adalah yang terbaik buat kita. Selaklah kitab suci Al-Quran. Sujudlah padaNya. Galilah hikmahnya. Nescaya kamu akan mendapat ketenangan yang hakiki. Mengadulah padaNya kerana DIA adalah sebaik-baik teman. Sentiasa ada dikala suka dan duka.
Ya Allah,berikanlah hamba-hambamu ini kekuatan dalam menempuh pelbagai mehnah hidup yang kelak akan mematangkan kami serta membuka mata hati kami akan kebesaran kurniaanMu.
Kuatkan diri.
Galilah hikmahnya!

Thursday, 6 October 2011

Nakhoda Harapan

Kembara semalam memberi seribu satu makna dalam hidup saya dan rehlah kelmarin punya hikmahnya tersendiri. Dek kerana keupayaan yang terbatas dan keadaan yang tidak mengizinkan saya untuk pulang terus ke rumah, saya mengambil keputusan untuk memulakan cuti di kampung tercinta. Peluang yang ada dimanfaatkan. Dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah salah seorang sahabat tercinta kami memulakan perjalanan. Berat rasa hati untuk meninggalkan bumi bertuah NILAI yang amat berNILAI bagi diri saya. Pada hemat orang lain sudah tentu tiada apa yang hendak dihairankan dengan NILAI, tempat yang terkenal dengan kain-kain yang murah,langsir-langsir yang cantik. Namun bagi diri saya dan sahabat-sahabat seperjuangan NILAI amat luar biasa bagi kami. Tempat kami memulakan hidup alam remaja. Belajar erti hidup dan kematangan. Disitulah kami ditarbiyah dan mentarbiyah. Semua suka duka persahabatan dan liku-liku dalam menuntut ilmu berlaku di bumi bertuah itu.
            Bukanlah tujuan saya untuk mencoret kisah tentang bumi bertuah itu. Tetapi hasrat hati saya untuk meluahkan kata tentang sesuatu yang saya kira amat penting untuk tatapan semua,terutama buat seorang PEMUDA. Alkisahnya bermula semasa saya dalam perjalanan pulang ke kampung. Kami melalui beberapa buah masjid. Ada yang kecil dan sederhana sahaja. Ada pula yang besar,cantik dan gah sekali di pandangan mata. Akan tetapi begini pula cerita yang saya dengar dari ayah sahabat saya itu.
Si ayah memulakan perbualan, “Ni la masjid besar kat sini” .
Saya bersuara memuji,  “Cantik”.
Si anak pula menyambung perbualan, “Ya la..Masjid ni pernah dah singgah dulu.Masa on the way balik Kelantan”.
“Tapi sayangnya tak de imam pun. Solat subuh hari tu abah yang jadi imam sebab tak ada imam. Makmum ada la dalam 5 orang masa tu”
Kami terdiam. Mengejutkan. Masjid yang tersergam indah tetapi tiada orang yang memakmurkannya tiada yang mengimarahkannya. MasyaAllah!
“Abah lagi suka pergi masjid yang satu lagi. Ramai orang tapi jauh sangat.”
“Ramai orang pun, tak berapa ada imam juga. Ada 2,3 orang imam tapi budak-budak muda lagi... Baca surah pun tak betul lagi. Kalau tak sebab dapat gaji mesti tak ada yang nak jadi imam.”
Kami hanya mendengar. Saya tersentak. Berfikir penuh resah. Tamat! Cerita tamat disitu.
            SubhanAllah! Pelbagai rasa menerpa dihati semasa mendengar luahan kata dari ayah sahabat itu. Terkejut, terkedu, resah menyelubungi diri. Mana pergi semua imam-imam? Mana pergi si ayah yang menjadi imam si anak? Mana pergi si suami yang menjadi imam si isteri? Mana pergi si pemuda yang menjadi imam penyambung rantai perjuangan? Sudah hilangkah di muka bumi ini? Sudah tiadakah yang mampu untuk menjadi imam? MasyaAllah. Kalau sekarang pun keadaan sudah begini. Bagaimana akan datang? Bagaimana pula 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah nanti bukan sahaja masjid yang tiada imam tetapi masjid juga tidak wujud? Astaghfirullah! Saya doakan itu tidak berlaku.
            Sedih sekali ketika itu. Fikiran terus menerawang. Memikirkan hal itu. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa dan cuba muhasabahkan diri. Mungkin ada hikmahnya hal ini sampai ke gegendang telinga saya tika itu. Ya,mungkin Allah mahu saya dan sahabat yang lain menjadi hambaNya yang lebih baik. Nasihat saya kepada sahabat MUSLIMIN dan PEMUDA di luar sana. Jadilah seorang muslim yang baik supaya menjadi seorang IMAM yang mampu menjadi IMAM buat keluarga,isteri dan anak-anak. Jadilah seseorang yang mampu untuk menjadi IMAM buat masyarakat. Seseorang yang mampu berbakti kepada agama Allah. Doaku pada kalian terutama kepada rakan-rakan seperjuanganku. Semoga kalian mampu untuk menjadi IMAM yang baik bagi isteri kalian kelak, semoga kalian mampu untuk melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah. Buat sahabat-sahabat semoga kalian mampu menjadi nakhoda yang baik untuk mengemudi pelayaran dalam kehidupan seorang isteri dan anak-anak kerana kalianlah yang akan mencorakkan kehidupan mereka. Amin...

Thursday, 22 September 2011

Jauhar Rasa.

Saat tekanan menghimpit diri tiada siapa mampu tangani dan hampiri untuk mengubati. Hanya kekuatan iman yang tersemat di nubari jadi bekalan. Pembimbing diri menjaga peribadi. Kelelahan,kepenatan dan kewalahan menjadi ungkapan yang terungkap di bibir. Menyelubungi diri. Segala usaha yang dilakukan seakan sia-sia. Bagaikan langsung tiada nilai di mata manusia. Bukan aku pinta nilaian natijah gemilang tapi sekurang-kurangnya hargai. Menghargai itu lebih penting.
Namun,diri ini cuba untuk meneutralkan kembali cecairan asid yang sesekali tumpah dikotak minda. Mungkin yang aku alami ini hanya pandangan dari manusia terhadap insan yang serba dhoif ini,tetapi apa pula pandangan Allah terhadap ku? Itu lebih penting. Fikirku. Mungkin lebih teruk. Aku cuba untuk bermuhasabah di balik tiap garis duka yang tercipta agar tidak hanya larut dalam larutan asid yang tercipta.
 Sungguh mereka insan yang di anugerahkan oleh Allah dengan kelebihan yang tiada pada diri ini. Itu ternyata kelebihan mereka. Mungkin itu penyebab mereka lebih berkilau dari kilauan jauhar yang lain. Tapi adilkah bagi insan-insan yang punyai nasib seperti aku? Ya,itu memang bukan persoalannya. Allah memang Maha Adil,Maha Mengetahui apa yang tidak hambaNya ketahui. Itu kelebihan mereka,aku juga punya kelebihan yang mungkin masih tidak ku sedari.
Merenung kembali kalam Allah yang menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. Benar-benar membuka mata. Usaha kita dinilai oleh Allah bukan oleh mata pena yang menulis di atas lembaran kertas.
Bertitik tolak dengan itu, ketabahan hati teruji minda berdiskusi. Aku sematkan dalam diri usaha sebaik mungkin. Itu sudah cukup. Biarlah orang lain melihat hasil usaha yang tercipta itu bagai tiada langsung titik untuk menghargai segala usaha kita. Aku hanya mampu untuk mengharap nilaian jauhar dari MU,Ya Allah... Itu lebih baik. Jauhar rasa MU lebih bermakna.

Thursday, 15 September 2011

Desiran Ujian

 Angin bayu berdesir lembut,rintik hujan mulai turun. Menyapa lembut pipi. Hening dan tenangnya saat ini. SubhanAllah,sungguh indah ciptaanMU. Angin,hujan... Anugerah yang tidak terhingga dari MU buat hambaMU yang cukup cintakan ketenangan ini. Merasai dan menikmati. 


Memerhati alam sekeliling membuatkan aku berfikir ‘Alangkah cantiknya ciptaan Allah’. Pokok hijau subur melata. Bunga-bunga hidup subur berwarna-warni mewarnai hidup sang makhluk yang lain. Mewarnai anak mata setiap kali memandang. Ibarat pelangi yang memberi sinar yang cantik pada pandangan mata hamba yang bergelar manusia saat pandangan ke sudut lain menyesakkan mata. 

Sudah menjadi sunnatullah bahawa setiap hambaNYA akan diuji. Namun,setiap ujian daripada Allah kepada setiap dari hambaNYA adalah berbeza. Aku diuji dengan cara begini,kamu diuji dengan cara begitu dan dia diuji dengan cara demikian. Berbeza semuanya. Jadi tidak ada ruang untuk kita mengatakan yang hanya kita sahaja diuji serta mempunyai masalah dan orang lain tidak. Kerana pada hakikatnya,setiap hambaNYA pasti akan diuji. Cuma bagaimana cara kita untuk menangani dan menghadapi setiap ujian itu. Andai langkah yang diambil adalah betul,maka mudahlah untuk kita selesaikan setiap ujian dan masalah yang bertandang tanpa dijemput itu. 

Namun,ujian dalam arena dakwah datang silih berganti. Bagai tidak ada hentinya untuk menguji ketetapan hati seorang dai’e. Diuji dari segenap sudut. Masalah persahabatan,gerak kerja,keluarga dan tidak terkecuali fokus utama sebagai pelajar,masalah pembelajaran akademik. Suka untuk saya coretkan disini petikan kata-kata yang dibaca dari sebuah laman sesawang.
Ujian itu satu tarbiyah daripada Allah,
Semakin dekat diri kepadanya,
Semakin kuat taufan yang melanda,
Biar rebah, Jangan berubah,
Biar terbuang ,Teruslah berjuang.
Senyum mujahid Memburu syahid
Kata-kata diatas cukup bermakna bagi insan yang berfikir dan memerhati. Menyuntik semangat. Ya,ujian adalah tarbiah dari Allah untuk menguji kekuatan dan keteguhan iman kita kepada Allah. Semakin galak dan garang kita beribadat kepada Allah makin banyak ujian yang bertamu. Bagai tiada hentinya.
Namun,tidak dapat dinafikan ujian juga ibarat penambah rasa dalam masakan kehidupan. Yang terkadang manis, masin dan pahit,itulah ujian. Menyempurnakan masakan kehidupan. 
Dalam menghadapi liku-liku hidup bertemankan ujian terkadang ramai yang tersalah andaian dan penilaian terhadap insan yang ditimpa ujian. Salah faham dan salah sangka terhadap insan yang diuji tidak dapat dipisahkan dalam pelayaran melayari setiap ujian. Sehinggalah kita sendiri yang merasai dan menanggung sendiri bebanan yang pernah dilalui oleh insan yang pernah kita ‘nilai’ dan membuat ‘penilaian’ suatu ketika disaat mereka dibebani ujian. Walaubagaimana pun, pengalaman diuji antara kamu dan dia tetap berlainan meski pun diuji tentang perkara yang ‘sama’. 

Lumrah manusia suka untuk membuat penilaian dengan pandangan mata kasar tanpa berfikir dan memerhati dengan mata hati. Siapa tahu insan yang dinilai itu sesunggguhnya amat dibebani dengan bebanan yang berat dan getir bagi dirinya. Kita sebagai insan yang berada disamping mereka harus sedar dan faham kondisi mereka. 

Ya,memang mudah untuk sekadar meluahkan kata-kata dan mencoret sini sana tetapi sukar untuk melaksana. Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlalu mudah untuk menilai setiap perbuatan mereka saat mereka diuji. Terkadang penilaian insan sekeliling saat diri mereka diulit bebanan dan ujian juga boleh menambahkan beban. Jangan biarkan diri kita menambahkan tekanan mereka yang sudah sedia ada. Sebaliknya jadilah insan yang memberi sinar baru buat diri mereka.