Sunday, 9 October 2011

Dibawah Bumbung Itu


Dibawah bumbung itu,
Kita berteduh dikala siang,
Menadah ilmu dari yang berilmu,
Kita mendengar penuh riang.

Dibawah bumbung itu,
Kita belajar erti persahabatan,
Semangat kekitaan yang jitu,
Kita mampu menghadapi cabaran.

Dibawah bumbung itu,
Kita lalui suka dan duka,
Menempuh ranjaunya sesuatu,
Kita masih tetap gembira.

Dibawah bumbung itu,
Kita belajar erti hidup,
Bercerai atau bersatu,
Kita teladani dan hirup.

Dibawah bumbung itu,
Aku kenali kalian,
Anugerah Ilahi buat diriku,
Yang tidak akan bertepian.

Dibawah bumbung itu,
Aku sentiasa mengukir senyuman,
Dek karenah mencuit hati darimu,
Yang akan ku ingat sepanjang zaman.

Dibawah bumbung itu,
Kita berjanji untuk setia,
Walau apa pun yang berlaku,
Kalian tetap dihati sentiasa.

Itulah dia,
Bumbung sekolah yang tercinta,
Tempat ilmu ditimba,
Yang akan abadi selamanya.

Khas buat sahabat-sahabat yang sentiasa di hati : Dhabitah,Double Hidayah,Farahin dan Fadhila ..^_^

Thursday, 6 October 2011

Nakhoda Harapan

Kembara semalam memberi seribu satu makna dalam hidup saya dan rehlah kelmarin punya hikmahnya tersendiri. Dek kerana keupayaan yang terbatas dan keadaan yang tidak mengizinkan saya untuk pulang terus ke rumah, saya mengambil keputusan untuk memulakan cuti di kampung tercinta. Peluang yang ada dimanfaatkan. Dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah salah seorang sahabat tercinta kami memulakan perjalanan. Berat rasa hati untuk meninggalkan bumi bertuah NILAI yang amat berNILAI bagi diri saya. Pada hemat orang lain sudah tentu tiada apa yang hendak dihairankan dengan NILAI, tempat yang terkenal dengan kain-kain yang murah,langsir-langsir yang cantik. Namun bagi diri saya dan sahabat-sahabat seperjuangan NILAI amat luar biasa bagi kami. Tempat kami memulakan hidup alam remaja. Belajar erti hidup dan kematangan. Disitulah kami ditarbiyah dan mentarbiyah. Semua suka duka persahabatan dan liku-liku dalam menuntut ilmu berlaku di bumi bertuah itu.
            Bukanlah tujuan saya untuk mencoret kisah tentang bumi bertuah itu. Tetapi hasrat hati saya untuk meluahkan kata tentang sesuatu yang saya kira amat penting untuk tatapan semua,terutama buat seorang PEMUDA. Alkisahnya bermula semasa saya dalam perjalanan pulang ke kampung. Kami melalui beberapa buah masjid. Ada yang kecil dan sederhana sahaja. Ada pula yang besar,cantik dan gah sekali di pandangan mata. Akan tetapi begini pula cerita yang saya dengar dari ayah sahabat saya itu.
Si ayah memulakan perbualan, “Ni la masjid besar kat sini” .
Saya bersuara memuji,  “Cantik”.
Si anak pula menyambung perbualan, “Ya la..Masjid ni pernah dah singgah dulu.Masa on the way balik Kelantan”.
“Tapi sayangnya tak de imam pun. Solat subuh hari tu abah yang jadi imam sebab tak ada imam. Makmum ada la dalam 5 orang masa tu”
Kami terdiam. Mengejutkan. Masjid yang tersergam indah tetapi tiada orang yang memakmurkannya tiada yang mengimarahkannya. MasyaAllah!
“Abah lagi suka pergi masjid yang satu lagi. Ramai orang tapi jauh sangat.”
“Ramai orang pun, tak berapa ada imam juga. Ada 2,3 orang imam tapi budak-budak muda lagi... Baca surah pun tak betul lagi. Kalau tak sebab dapat gaji mesti tak ada yang nak jadi imam.”
Kami hanya mendengar. Saya tersentak. Berfikir penuh resah. Tamat! Cerita tamat disitu.
            SubhanAllah! Pelbagai rasa menerpa dihati semasa mendengar luahan kata dari ayah sahabat itu. Terkejut, terkedu, resah menyelubungi diri. Mana pergi semua imam-imam? Mana pergi si ayah yang menjadi imam si anak? Mana pergi si suami yang menjadi imam si isteri? Mana pergi si pemuda yang menjadi imam penyambung rantai perjuangan? Sudah hilangkah di muka bumi ini? Sudah tiadakah yang mampu untuk menjadi imam? MasyaAllah. Kalau sekarang pun keadaan sudah begini. Bagaimana akan datang? Bagaimana pula 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah nanti bukan sahaja masjid yang tiada imam tetapi masjid juga tidak wujud? Astaghfirullah! Saya doakan itu tidak berlaku.
            Sedih sekali ketika itu. Fikiran terus menerawang. Memikirkan hal itu. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah berdoa dan cuba muhasabahkan diri. Mungkin ada hikmahnya hal ini sampai ke gegendang telinga saya tika itu. Ya,mungkin Allah mahu saya dan sahabat yang lain menjadi hambaNya yang lebih baik. Nasihat saya kepada sahabat MUSLIMIN dan PEMUDA di luar sana. Jadilah seorang muslim yang baik supaya menjadi seorang IMAM yang mampu menjadi IMAM buat keluarga,isteri dan anak-anak. Jadilah seseorang yang mampu untuk menjadi IMAM buat masyarakat. Seseorang yang mampu berbakti kepada agama Allah. Doaku pada kalian terutama kepada rakan-rakan seperjuanganku. Semoga kalian mampu untuk menjadi IMAM yang baik bagi isteri kalian kelak, semoga kalian mampu untuk melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah. Buat sahabat-sahabat semoga kalian mampu menjadi nakhoda yang baik untuk mengemudi pelayaran dalam kehidupan seorang isteri dan anak-anak kerana kalianlah yang akan mencorakkan kehidupan mereka. Amin...

Wednesday, 5 October 2011

Warkah Buat Sahabat

Salam sayang buat sahabatku yang disayangi kerana Allah. Bertemunya kita kerana mengejar impian kerana  Allah demi  membangunkan umat.Berkenalannya kita dengan izin Allah yang Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui setiap hikmah yang terkandung dibalik sebuah pertemuan itu. Perkenalan juga pasti disulami dengan pertelingkahan, salah faham dan sebagainya. Namun itulah yang mematangkan kita dalam melayari layar kehidupan.Perkenalan yang memberi seribu  satu  hikmah yang  tidak mampu untuk diungkapkan. Jika ditanya pada siapa pun tidak ada yang sanggup untuk melalui episod perpisahan itu. Tapi kita harus berlapang dada kerana itulah matang.Perkenalan aku dgn dirimu amat memberi kesan padaku. Denganmu aku cuba untuk menyesuaikan diri dan positifkan diri agar kau tidak merasai wujudnya perbezaan yang besar antara dirimu dan orang seperti aku. Mungkin kau rasai mungkin juga tidak. Berusaha untuk mendepani sahabat seperti mu sangat mencabar. Aku berusaha untuk memahami dirimu jua cara pemikiranmu. Mungkin kita memang ada perbezaan tetapi ingatlah jangan cuba nafikan titik persamaan tetap wujud antara kita semua. Pengalaman suka duka kita bersama sematkan dalam hati, kuncikan dan buang kunci tersebut sejauh mungkin agar kau tidak pernah melupakan episod kita bersama. Persahabatan kita semua amat berharga. Kita diuji dengan keegoaan diri, kematangan diri dan tahap keakraban yang tinggi.  Keakraban juga menjadi ujian buat kita kerana apabila berlaku perselisihan amat sukar untuk kita mendepaninya. Aku cuba bersikap adil untuk tidak menghukum kau atau yang lain sebelum diketahui keadaan sebenar. Tetapi aku akui kau tidak menyedari hal itu. Terkadang salah faham dan perselisihan yang berlaku  mampu mengukir kenangan yang indah dan sukar untuk diluputkan daripada kotak memori.


Mungkin ya kita semua tidak sama,
Mungkin ya kita berbeza,
TAPI kamu tidak tersalah masuk rumah,
Andai rumah yang kamu masuk ini adalah salah,
Ia adalah takdir,
Takdir ujian dari Allah,

Namun,bagiku KITA semua tidak salah masuk RUMAH,
Aku,kamu...KITA semua tidak salah masuk RUMAH,
KITA semua memang ditakdirkan untuk berada didalam satu RUMAH,
RUMAH yang mempunyai 1 PINTU,
Iaitu PINTU hati kita yang bersatu dan menyatu.

Tapi KITA masih tidak berjaya untuk betul-betul bersatu dan menyatu,
Mungkin ukhuwah KITA belum betul-betul settle,
Mungkin KITA masih dalam alam perkenalan,
Mungkin KITA perlu saling memahami diri masing-masing,
Mungkin KITA perlu lebih bertolak ansur,
Mungkin KITA masih perlu untuk mengenali sesama KITA dengan lebih mendalam,
Mungkin KITA masih perlu meneruskan taaruf hidup yang panjang,
Demi ukhuwah KITA.

Semoga KITA dapat mencari PINTU untuk kita bersatu dan menyatu pada 1 PINTU,
1 PINTU sebagai laluan masuk ke dalam RUMAH yang betul.

Sesungguhnya,ukhuwah yang tertinggi KITA adalah ITSAR(melebihkan sahabat daripada diri sendiri).


Akhir kalam,semoga ukhuwah yang terbina antara KITA semua kekal abadi selamanya walau terpisah dua benua.Ukhuwah fillah Abadan abada...^_^

Special For:Nisa Anis

Tuesday, 4 October 2011

Hikmah Duka


Tika itu,
Aku diam keresahan,
Aku senyum kegembiraan,
Agar luput segala kesakitan.

Tika itu,
Aku cuba untuk kuat,
Aku cuba untuk tidak penat,
Untuk merentangi sebuah jejambat.

Tika itu,
Aku resah sendiri,
Aku diam menyendiri,
Menahan sakit yang tidak terperi.

Tika itu,
Aku lihat kalian gembira,
Aku turut gembira,
Meniti riang di jiwa.

Tika itu,
Aku sudah tidak upaya,
Aku sudah tiada daya,
Untuk berdiri pada tapaknya.

Tika itu,
Aku mendiamkan diri,
Aku merintih dalam hati,
Moga aku masih bisa berdiri.

Tika itu,
Kamu semua menyedari,
Akan sakit yang ku alami,
Semenjak dinihari.

Tika itu,
Kamu semua bersimpati,
Riak wajah hambar sepi,
Aku hanya berdiam diri.

Tika itu,
Aku resah sendiri,
Aku takut sekali,
Jika aku menyusahi.

Tika itu,
Air mataku menitis,
Atas budi baik yang kalian titis,
Sendu kian merintis.

Tika itu,
Sebak singgah di dada,
Rasa terkilan hinggap dijiwa,
Atas pengorbanan yang tidak terhingga.

Tika itu,
Meski sakit yang terpaksa ku tanggung,
Meski perit rasa yang menimpa,
Aku gembira,
Aku bersyukur,
Kerana dengan ujianNya,
Aku lihat hikmah disebaliknya...
Terima kasih SAHABAT...

-z0o Melaka,around 2pm-

Friday, 30 September 2011

Titipan Rasa

Ya Allah..
Sekali lagi kau titipkan aku dengan rasa ini,
Kau uji kekuatan imanku,
Sekental mana keutuhan jiwaku.

Ya Allah,
Aku pohon padamu,
Peliharalah hati ini,
Untuk terus dijaga.

Ya Allah,
Mungkin ada hikmah yang tersingkap,
Yang tak dapat diungkap,
Jua tak dapat ditangkap.

Ya Allah,
Semoga segalanya menjadi yang terbaik,
Untuk kehidupan seorang insan,
Demi  AGAMA Mu .

Thursday, 22 September 2011

Jauhar Rasa.

Saat tekanan menghimpit diri tiada siapa mampu tangani dan hampiri untuk mengubati. Hanya kekuatan iman yang tersemat di nubari jadi bekalan. Pembimbing diri menjaga peribadi. Kelelahan,kepenatan dan kewalahan menjadi ungkapan yang terungkap di bibir. Menyelubungi diri. Segala usaha yang dilakukan seakan sia-sia. Bagaikan langsung tiada nilai di mata manusia. Bukan aku pinta nilaian natijah gemilang tapi sekurang-kurangnya hargai. Menghargai itu lebih penting.
Namun,diri ini cuba untuk meneutralkan kembali cecairan asid yang sesekali tumpah dikotak minda. Mungkin yang aku alami ini hanya pandangan dari manusia terhadap insan yang serba dhoif ini,tetapi apa pula pandangan Allah terhadap ku? Itu lebih penting. Fikirku. Mungkin lebih teruk. Aku cuba untuk bermuhasabah di balik tiap garis duka yang tercipta agar tidak hanya larut dalam larutan asid yang tercipta.
 Sungguh mereka insan yang di anugerahkan oleh Allah dengan kelebihan yang tiada pada diri ini. Itu ternyata kelebihan mereka. Mungkin itu penyebab mereka lebih berkilau dari kilauan jauhar yang lain. Tapi adilkah bagi insan-insan yang punyai nasib seperti aku? Ya,itu memang bukan persoalannya. Allah memang Maha Adil,Maha Mengetahui apa yang tidak hambaNya ketahui. Itu kelebihan mereka,aku juga punya kelebihan yang mungkin masih tidak ku sedari.
Merenung kembali kalam Allah yang menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. Benar-benar membuka mata. Usaha kita dinilai oleh Allah bukan oleh mata pena yang menulis di atas lembaran kertas.
Bertitik tolak dengan itu, ketabahan hati teruji minda berdiskusi. Aku sematkan dalam diri usaha sebaik mungkin. Itu sudah cukup. Biarlah orang lain melihat hasil usaha yang tercipta itu bagai tiada langsung titik untuk menghargai segala usaha kita. Aku hanya mampu untuk mengharap nilaian jauhar dari MU,Ya Allah... Itu lebih baik. Jauhar rasa MU lebih bermakna.

Thursday, 15 September 2011

Desiran Ujian

 Angin bayu berdesir lembut,rintik hujan mulai turun. Menyapa lembut pipi. Hening dan tenangnya saat ini. SubhanAllah,sungguh indah ciptaanMU. Angin,hujan... Anugerah yang tidak terhingga dari MU buat hambaMU yang cukup cintakan ketenangan ini. Merasai dan menikmati. 


Memerhati alam sekeliling membuatkan aku berfikir ‘Alangkah cantiknya ciptaan Allah’. Pokok hijau subur melata. Bunga-bunga hidup subur berwarna-warni mewarnai hidup sang makhluk yang lain. Mewarnai anak mata setiap kali memandang. Ibarat pelangi yang memberi sinar yang cantik pada pandangan mata hamba yang bergelar manusia saat pandangan ke sudut lain menyesakkan mata. 

Sudah menjadi sunnatullah bahawa setiap hambaNYA akan diuji. Namun,setiap ujian daripada Allah kepada setiap dari hambaNYA adalah berbeza. Aku diuji dengan cara begini,kamu diuji dengan cara begitu dan dia diuji dengan cara demikian. Berbeza semuanya. Jadi tidak ada ruang untuk kita mengatakan yang hanya kita sahaja diuji serta mempunyai masalah dan orang lain tidak. Kerana pada hakikatnya,setiap hambaNYA pasti akan diuji. Cuma bagaimana cara kita untuk menangani dan menghadapi setiap ujian itu. Andai langkah yang diambil adalah betul,maka mudahlah untuk kita selesaikan setiap ujian dan masalah yang bertandang tanpa dijemput itu. 

Namun,ujian dalam arena dakwah datang silih berganti. Bagai tidak ada hentinya untuk menguji ketetapan hati seorang dai’e. Diuji dari segenap sudut. Masalah persahabatan,gerak kerja,keluarga dan tidak terkecuali fokus utama sebagai pelajar,masalah pembelajaran akademik. Suka untuk saya coretkan disini petikan kata-kata yang dibaca dari sebuah laman sesawang.
Ujian itu satu tarbiyah daripada Allah,
Semakin dekat diri kepadanya,
Semakin kuat taufan yang melanda,
Biar rebah, Jangan berubah,
Biar terbuang ,Teruslah berjuang.
Senyum mujahid Memburu syahid
Kata-kata diatas cukup bermakna bagi insan yang berfikir dan memerhati. Menyuntik semangat. Ya,ujian adalah tarbiah dari Allah untuk menguji kekuatan dan keteguhan iman kita kepada Allah. Semakin galak dan garang kita beribadat kepada Allah makin banyak ujian yang bertamu. Bagai tiada hentinya.
Namun,tidak dapat dinafikan ujian juga ibarat penambah rasa dalam masakan kehidupan. Yang terkadang manis, masin dan pahit,itulah ujian. Menyempurnakan masakan kehidupan. 
Dalam menghadapi liku-liku hidup bertemankan ujian terkadang ramai yang tersalah andaian dan penilaian terhadap insan yang ditimpa ujian. Salah faham dan salah sangka terhadap insan yang diuji tidak dapat dipisahkan dalam pelayaran melayari setiap ujian. Sehinggalah kita sendiri yang merasai dan menanggung sendiri bebanan yang pernah dilalui oleh insan yang pernah kita ‘nilai’ dan membuat ‘penilaian’ suatu ketika disaat mereka dibebani ujian. Walaubagaimana pun, pengalaman diuji antara kamu dan dia tetap berlainan meski pun diuji tentang perkara yang ‘sama’. 

Lumrah manusia suka untuk membuat penilaian dengan pandangan mata kasar tanpa berfikir dan memerhati dengan mata hati. Siapa tahu insan yang dinilai itu sesunggguhnya amat dibebani dengan bebanan yang berat dan getir bagi dirinya. Kita sebagai insan yang berada disamping mereka harus sedar dan faham kondisi mereka. 

Ya,memang mudah untuk sekadar meluahkan kata-kata dan mencoret sini sana tetapi sukar untuk melaksana. Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlalu mudah untuk menilai setiap perbuatan mereka saat mereka diuji. Terkadang penilaian insan sekeliling saat diri mereka diulit bebanan dan ujian juga boleh menambahkan beban. Jangan biarkan diri kita menambahkan tekanan mereka yang sudah sedia ada. Sebaliknya jadilah insan yang memberi sinar baru buat diri mereka.